Pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton mensasarkan kejuaraan di Litar Antarabangsa Sepang, SIC menjelang saingan Grand Prix Malaysia hujung minggu ini.

Keyakinan Hamilton adalah kerana, Sepang, adalah antara sirkit kegemarannya.

"Sasaran saya adalah untuk menang. Saya tidak pernah meraih sebarang kejuaraan di SIC. Kedudukan terbaik saya raih adalah tempat ke-2 pada 2007, kerana itu saya memang mahukan kemenangan," kata Hamilton.

Pada saingan tahun lalu, pelumba berusia 28 tahun ini sekadar berpuas hati di tempat ketiga, manakala kedudukan juara milik pelumba Ferrari, Fernando Alonso.

Berbeza dengan pelumba lain, Hamilton lebih gemar berlumba di Sepang dalam keadaan kering.

"Saya mahu litar yang kering, ia adalah satu cabaran buat jentera Mercedes, tayar dan juga bakal mencabar kemampuan saya. Jadi saya perlu memastikan saya berada di prestasi terbaik. Saya perlukan air yang cukup dan saya pasti bersedia."

2013 merupakan musim pertama Hamilton beraksi bersama Mercedes AMG Petronas selepas berhijrah daripada pasukan lamanya, Mclaren Mercedes.

Untuk perlumbaan pusingan pembukaan yang berlangsung di Melbourne Australia minggu lalu, Hamilton sekadar berada di kedudukan ke-5

Sementara itu, rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg pula mengharapkan tuah cuaca memihak kepadanya. Ujarnya, buat masa ini pilihannya adalah cuaca hujan memandangkan aksinya di atas trek basah lebih meyakinkan.

"Jika hujan, kami akan menjadi sangat laju dan pastinya ia akan membantu kami untuk meraih kedudukan terbaik," kata Rosberg.

Mengulas mengenai sasaran, pelumba kelahiran Jerman ini meletakkan kedudukan yang realistik.

"Sasaran saya adalah 5 terbaik. Dan mungkin mendapatkan kedudukan podium jika segalanya berjalan lancar. Ia sangat bagus sebab kami akan beraksi di tempat yang boleh dianggap sebagai laman sendiri dan mendapat sokongan daripada setiap orang. Jadi saya akan cuba melakukan dan mendapatkan yang terbaik," katanya lagi.