[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
SUKAN

Liek Hou terus unggul, rangkul dua gelaran Para Asia di Thailand

Bernama 22/06/2025 | 14:00 MYT
Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou terus mengukuhkan reputasinya selaku pemain nombor satu dunia apabila merangkul dua gelaran di Kejohanan Badminton Para Asia 2025 yang berlangsung di Korat, Thailand, hari ini. - Foto FB Cheah Liek Hou
KUALA LUMPUR: Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou terus mengukuhkan reputasinya selaku pemain nombor satu dunia apabila merangkul dua gelaran di Kejohanan Badminton Para Asia 2025 yang berlangsung di Korat, Thailand, hari ini.
Liek Hou, yang turun dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), terlebih dahulu meraih kejuaraan perseorangan lelaki selepas menewaskan seteru utama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam aksi sengit tiga set, 21-19, 15-21, 21-18 yang berlangsung selama hampir sejam.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dua kali itu kemudian menambah koleksi kejuaraan apabila bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar dalam acara beregu lelaki SU5 untuk mudah menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 21-14, 21-8.
Turut menyinar ialah wakil perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) Mhd Amin Burhanuddin yang muncul juara selepas menumpaskan pemain dari India, Surya Kant Yadav 23-21, 21-15.
Sementara itu, Muhammad Ikhwan Ramli yang bersaing dalam kategori WH1 (berkerusi roda) terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tunduk kepada pemain China, Qu Zi Mo 9-21, 16-21 dalam aksi final.
-- BERNAMA
#jaguh para badminton negara #Cheah Liek Hou #Kejohanan Badminton Para Asia 2025 #Thailand