Liga Perdana Inggeris: Liverpool dan Manchester United terikat tanpa jaringan

Agensi
Oktober 17, 2016 23:37 MYT
Pemain pertahanan Manchester United Chris Smalling (biru) cuba menghalang pemain tengah Liverpool dari Senegal Sadio Mane dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi. - Foto AFP / Paul ELLIS
Dua pasukan hebat Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan Manchester United gagal memberikan aksi yang menyakinkan dalam pertemuan awal pagi ini apabila hanya terikat tanpa jaringan selepas tamat perlawanan.
Kemenangan dicari oleh Liverpool yang beraksi di gelanggang sendiri di Anfield.
Pasukan tuan rumah beberapa kali hampir memungut tiga mata penuh namun penjaga gol Manchester United David de Gea muncul wira United apabila menggagalkan cubaan Emre Can dan Philippe Coutinho.
Peluang juga terbuka buat pelawat menerusi cubaan oleh Zlatan Ibrahimovic, namun tandukan lemah gagal membuahkan hasil.
“Mereka (Liverpool) gagal membuahkan peluang, mungkin dua kali di separuh masa kedua, De Gea berjaya menyelamatkan dua atau tiga percubaan, namun akhirnya persembahan kali ini tidak seperti yang diharapkan.
“Namun keputusan seri bukanlah perkara yang terburuk, ” kata jurulatih Liverpool Jurgen Klopp.
Ini juga adalah kali pertama Liverpool gagal membuat sebarang jaringan di tempat sendiri musim ini dan kini berkedudukan keempat liga.
Sementara itu, Manchester United kekal di tangga ke tujuh liga dengan hanya memenangi satu perlawanan dalam lima aksi terakhir mereka.
Jurulatih Jose Mourinho bagaimanapun berpuas hati dengan aksi anak buahnya pagi ini meskipun mengakui penonton merasa sedikit hampa dari keputusan yang dicatatkan.
#EPL #Jose Mourinho #jurgen klopp #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester United #Zlatan Ibrahimovic