SUKAN

Liga Super: Elavarasan tekad pulih maruah Kelantan TRW

Bernama 02/07/2025 | 00:10 MYT
Elavarasan ketika ditemui pengamal media pada sesi latihan pertama bersama para pemain di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 1 Julai 2025. -- fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Ketua Jurulatih baharu Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) E. Elavarasan bertekad untuk mengangkat semula prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim 2025/26 selepas mencatatkan musim suram sebelum ini.

Beliau yang dilantik mengemudi skuad berkenaan menggantikan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mahu memastikan Kelantan TRW tidak lagi berada di tangga tercorot seperti musim lalu, sebaliknya menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan terbaik liga.

"Saya menerima tawaran ini disebabkan beberapa faktor dan saya sendiri melihat pasukan Kelantan sebelum ini pernah menjadi pasukan terbaik. Saya percaya kita boleh kembali ke tahap itu dengan perancangan rapi serta sokongan semua pihak.

"Saya juga membuat keputusan untuk menetap di sini selepas beberapa tahun berulang-alik ke luar negara atas urusan kerja dan pertimbangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi latihan pertamanya bersama skuad TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan TRW Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Elavarasan menggesa penyokong agar tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi kepada pasukan, sebaliknya memberikan sokongan berterusan dalam usaha memulihkan prestasi Kelantan TRW.

"Prestasi pasukan ini memang tidak konsisten sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini, tetapi saya yakin perubahan akan berlaku secara berperingkat.

"Kita perlu turun beraksi terlebih dahulu sebelum dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sebenar pasukan. Buat masa ini, kita masih menunggu ketibaan pemain import yang dijadual tiba minggu depan," katanya.

Menurutnya seramai 10 pemain sudah menyertai pasukan, termasuk yang berpengalaman serta beberapa pemain bawah 23 tahun yang dikenal pasti berpotensi besar.

"Dengan gabungan pemain baharu dan pengurusan yang lebih tersusun, saya percaya kita mampu membawa Kelantan TRW ke tahap yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA



#Kelantan TRW #E Elavarasan #ketua jurulatih #Liga Super