Liga Super: Gol berganda Seo Seonung ceriakan Perak FC

Astro Arena
Mac 12, 2023 15:52 MYT
Pemain Pasukan Perak FC Seo Seonung (kanan) mengejar bola ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Dua gol Seo Seonung memastikan kemenangan sulung Liga Super buat Perak FC yang mengecewakan Kuching City 2-0 di Ipoh, sebentar tadi.
Pemain tengah kelahiran Nigeria, Christian Obiozor, mewujudkan persefahaman baik apabila larian mengelirukannya menemui kedudukan pemain import Korea Selatan itu yang melepaskan rembatan padu.
Kuching City sendiri terperangkap dengan ketumpulan di bahagian serangan melalui percubaan Abu Kamara selain tendangan Alif Hassan dari jarak dekat menggegar palang.
Situasi itu sekali lagi dihukum Seo Seonung yang diberi ruang di dalam kotak penalti untuk jaringan keduanya pada minit ke-57, sekali gus menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut pelawat pada musim ini.
"Kami gagal selesaikan peluang yang ada, makanya kami kena (kalah) pada malam ini.
"Saya sendiri yang bertanggungjawab keburukan permainan pemain saya pada malam ini.
"Pemain-pemain tidak bermain sambil lewa tapi mengulangi kesalahan serupa, hanya memerhatikan bola.
"Kami mempunyai peluang tapi hanya membazirkannya. Tapi mengenai gol Perak, kami memberi ruang besar kepada mereka dan akhirnya kami terkena," kata ketua jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim, selepas perlawanan.
#Perak FC #Seo Seonung #Liga Super #Kuching City