SUKAN
Liga Super: IFC masih harap jadikan Stadium Darulaman sebagai 'homeground' - Saifuddin

Saifuddin Nasution (tengah) melakukan gimik pelancaran jersi Pasukan Imigresen FC pada Majlis Peluncuran Jersi dan pengenalan pemain bagi Liga Super Musim 2025/2026 di Alor Setar, malam tadi. - Gambar Bernama
ALOR SETAR: Kelab Bolasepak Imigresen (IFC) masih menaruh harapan untuk menjadikan Stadium Darulaman, Alor Setar sebagai gelanggang tuan rumah ataupun 'homeground' bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pihak pengurusan pasukan telah menghantar surat permohonan kepada Perbadanan Stadium Negeri Kedah bagi tujuan itu dan masih menunggu maklumbalas daripada pihak berkenaan.
Menurutnya, ketika ini pasukan IFC menjadikan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sebagai gelanggang tuan rumah sementara menunggu proses pengubahsuaian yang dilakukan di Stadium Dato' Sheikh Ahmad, Perlis yang dijangka siap penghujung tahun ini.
Beliau menegaskan, pemilihan stadium di kawasan utara terutama di negeri Kedah dan Perlis adalah untuk menarik minat penyokong dari kedua-dua negeri itu mengikuti saingan Liga Super yang lebih kompetetif.Ia susulan, tiada pasukan daripada dua negeri yang memiliki sejarah gemilang dalam dunia bolasepak negara itu layak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.
"Tetapi kalau terbaiknya, kalau Stadium Darul Aman dapat bagi pilihan, kami bercadang untuk pajak (bagi digunakan pasukan IFC untuk) satu musim, (ia akan beri) pendapatan yang bagus untuk stadium,
"(Pemilihan Stadium Darulaman juga) dibuat sebab dia tak bertembung, Liga Super ini main (pada) waktu malam, Liga A1 (majoritinya) main (pada waktu) petang, jadi (ini) peluang terbaik, kami (setakat ini) ada tiga pilihan stadium, (berkenaan Stadium Darul Aman), kami sudah tulis surat dah, (sekarang tengah) tunggu jawapan,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Pasukan IFC Liga Super 2025/2026, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Antara barisan pemain IFC yang diperkenalkan adalah majoriti daripada skuad Kedah Darul Aman FC (KDAFC) musim lalu termasuk ketua pasukan, Rizal Ghazali.
Dalam majlis yang sama, enam pemain import dari Myanmar, Iran, Brazil, Venezuela, dan Australia turut diperkenalkan.
Saifuddin turut menyasarkan IFC berada dalam kedudukan yang realistik iaitu lima terbaik Liga Super.
Pengendali pasukan, Yusri Che Lah pula diberikan kepercayaan sepenuhnya dalam membawa haluan pasukan yang pertama kali beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami