Liga Super: JDT buka tirai tahun 2026 tewaskan Selangor

Antara aksi menarik dalam pertembungan JDT dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad malam. - Bernama
PETALING JAYA: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Selangor FC 2-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Pasukan pelawat hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Nacho Mendez yang terkena pertahanan Selangor sebelum menerjah gawang.
Tersentak dengan gol awal itu, Gergasi Merah bangkit memperkemaskan corak permainan bagi memburu gol penyamaan, dengan beberapa serangan berbahaya dilancarkan ke kubu JDT.
Usaha Selangor hampir membuahkan hasil menerusi penyerang mereka, Chrigor Moraes, pada minit ke-17 namun percubaan satu lawan satu itu berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
Selangor sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-27 menerusi pemain sayap Faisal Halim, namun rembatannya sedikit tersasar untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Selangor terus meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol penyamaan, namun gagal menembusi pertahanan kukuh JDT.
Sebaliknya, Harimau Selatan mengesahkan kemenangan menerusi gol kedua hasil sentuhan Bergson Da Silva pada penghujung perlawanan, sekali gus memastikan kemenangan 2-0 milik JDT.
Sementara itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, KL City meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Imigresen FC 4-2.
Kapten skuad Warga Kota, Paulo Josue, meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-31 separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Imigresen FC bangkit garang apabila menjaringkan dua gol menerusi Fadzeul Danel Nizam pada minit ke-47 dan Eduardo Sosa (61).
Bagaimanapun, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan kedua Josue pada minit ke-68.
Malang menimpa skuad Imigresen FC dua minit kemudian apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mior Dani Armin Mior Ariffin dilayangkan kad merah susulan kad kuning kedua, selepas menerima kad kuning pertama pada minit ke-43.
Pasukan kendalian Risto Vidakovic kembali bersorak apabila Safawi Rasid meledak gol pada minit ke-76 untuk meletakkan KL City kembali di hadapan.
Kemenangan KL City disahkan dua minit kemudian apabila Kpah Sherman turut mencatatkan nama sebagai penjaring, sekali gus memastikan keputusan 4-2 memihak tuan rumah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


