SUKAN

Liga Super: Kuching City FC belasah Imigresen FC 4-0

Bernama 28/09/2025 | 22:20 MYT
Pemain Imigresen FC, Joao Pedro Boeira Duarte cuba melepasi dua pertahanan Kuching City FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2025-2026 di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. - Gambar Bernama
KUCHING: Kuching City FC beraksi cemerlang di gelanggang sendiri apabila menewaskan Imigresen FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.

Aksi babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan, namun tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-29 menerusi rembatan kencang Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang menewaskan penjaga gol lawan.

Suasana tegang berlaku pada masa tambahan babak pertama apabila pemain import Imigresen FC, Pedro Santos Filho dilayangkan kad kuning selepas merempuh Moses Atede.

Skuad The Cats diberikan sepakan percuma hasil kekasaran itu, namun peluang berkenaan gagal disempurnakan, sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Ahmad Danial Ahmad Asri meledak gol kedua pada minit ke-48.

Ahmad Danial sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila tenang menyudahkan peluang pada minit ke-64 untuk menghadiahkan gol ketiga pasukan tuan rumah, sebelum Petrus Shitembi melengkapkan kemenangan 4-0 Kuching City pada minit ke-74.

Kemenangan itu menjadikan Imigresen FC sebagai mangsa ketiga skuad The Cats, yang kini menghuni tangga keempat liga dengan 10 mata selepas lima perlawanan.

-- BERNAMA





#Liga Super #Kuching City FC #Imigresen FC #The Cats