Liga Super: Sabah ikat Sri Pahang, Selangor tewaskan Penang

Bernama
Mac 12, 2023 16:39 MYT
Pemain Sri Pahang FC Stefano Brundo (kanan) diasak oleh pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Darul Makmur malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sabah FC dan Sri Pahang FC masing-masing akur berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di Kuantan, malam ini.
Sebaik sepak mula kedua-dua pasukan tampak berhati-hati dalam mengatur gerak dengan pelbagai cubaan bagi memecah kebuntuan gol.
Pada minit ke-14, Sabah mendahului 1-0 menerusi Daniel Ting yang menanduk kencang bola ke dalam gawang lawan selepas menyambut hantaran cantik Ko Kwang Min.
Sri Pahang bingkas bangkit menyamakan kedudukan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-25 yang merembat kencang bola menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim Chien Khai.
Babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan cuba menokok jaringan dalam usaha mengutip tiga mata berharga namun ianya berakhir dengan kebuntuan dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat ditiup.
Sementara itu, Perak FC meraih kemenangan sulung mereka selepas mengharungi empat perlawanan liga apabila menewaskan Kuching City FC 2-0 di Stadium Perak di Ipoh.
Memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri, Perak mendahului menerusi jaringan pemain import Korea Selatan, Seo Seonung pada minit ke-41 sebelum beliau menggandakan jaringan itu pada minit ke-58.
Dalam pada itu, Penang FC tewas di tangan Selangor FC 1-2 pada aksi sebelah petang di Stadium Bandaraya di George Town.
Selangor dikendalikan Tan Cheng Hoe membuka jaringan menerusi pemain import Colombia, Ayron del Valle pada minit ke-27 sebelum pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh menyumbang gol kedua pasukan pada minit ke-89.
Gol tunggal skuad Harimau Kumbang pula dijaringkan Rafael Vitor pada minit ke-87.
-- BERNAMA
#Liga Super #Sabah FC #Sri Pahang FC #Penang FC