[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
SUKAN

Ling Ching akui masih ada jurang dengan pemain elit dunia

Bernama 25/11/2025 | 15:00 MYT
Selain kekuatan fizikal, Ling Ching turut menyifatkan aspek kemahiran dan mental perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya mahu menandingi pemain elit dunia lain. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching mengakui masih terdapat jurang perlu diatasi sebelum mampu mencabar barisan pemain elit dunia secara konsisten seperti yang dilakukannya ke atas Michelle Li dari Kanada di Masters Jepun 2025, awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • Wong Ling Ching mengakui terdapat jurang perlu diatasi sebelum mampu mencabar pemain elit dunia secara konsisten, walaupun berjaya mengalahkan Michelle Li dari Kanada yang ranking ke-15 dunia.
  • Beliau menekankan perlunya peningkatan fizikal, kemahiran, dan mental sebagai aspek penting untuk menandingi pemain elit lain.
  • Ling Ching berhasrat untuk menembusi kelompok 30 pemain terbaik dunia, sementara ini menduduki ranking ke-42 dunia, seterusnya mengejar Letshanaa yang berada pada kedudukan ke-41.


Beliau berkata selepas mempamerkan peningkatan prestasi tahun ini termasuk mencatat kemenangan ke atas Michelle yang menghuni ranking ke-15 dunia, pengalaman beraksi dalam beberapa kejohanan berturut-turut menunjukkan aspek fizikalnya masih perlu dipertingkatkan.

"Untuk kejohanan ketiga, fizikal saya sudah menurun. Daya letupan di bahagian kaki sudah hilang dan itu menyebabkan saya sukar mengekalkan corak permainan sebenar," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Selain kekuatan fizikal, Ling Ching turut menyifatkan aspek kemahiran dan mental perkara yang perlu diberikan perhatian sekiranya mahu menandingi pemain elit dunia lain.

Kemenangan yang diperoleh dalam tempoh 62 minit ke atas Michelle itu cukup bermakna buat Ling Ching dan ia kali pertama mengalahkan pemain dalam kelompok 15 terbaik dunia.

"Saya rasa dari segi kemahiran dan mental, saya perlu lebih fleksibel. Itu antara perkara yang membezakan saya dengan pemain-pemain elit lain," katanya.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu tetap berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan sejak awal tahun ini, termasuk kejayaan mara ke final kejohanan Super 100 di Malaysia dan suku akhir Terbuka Kanada.

Ditanya sama ada beliau menyasarkan untuk merampas kedudukan rakan senegara K. Letshanaa sebagai pemain utama perseorangan wanita selepas aksi memberangsangkan, Ling Ching berkata keutamaan sekarang adalah untuk menembusi kelompok 30 pemain terbaik dunia.

Untuk rekod, Ling Ching kini menghuni ranking ke-42 dunia manakala Letshanaa pada kedudukan ke-41.

-- BERNAMA


#pemain elit #aspek kemahiran #perseorangan wanita #Terbuka Kanada