JAKARTA: Bintang bola sepak terkemuka dunia, Lionel Messi berada dalam senarai pemain skuad Argentina yang akan bertandang ke Indonesia bulan depan dalam rangka jelajah Asia 2023.

Portal berita Kompas melaporan, dalam perlawanan persahabatan itu, Argentina akan menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada 19 Jun ini.

Selain Indonesia, Argentina juga akan berhadapan Australia di China pada 15 Jun.

Sebelum ini, persoalan kehadiran Messi ke Indonesia menjadi perdebatan di media sosial.

Bagaimanapun, lapor Kompas, di akaun media sosial rasmi Argentina pada Sabtu menyenaraikan nama Messi dalam skuad negara berkenaan dalam jelajah ke Asia.

Dalam senarai 27 pemain skuad Argentina termasuk Messi, jurulatih Lionel Scaloni turut membawa bersama sejumlah nama besar lain seperti Emiliano Martinez, Julian Alvarez dan Angel di Maria.

Sementara di kubu Indonesia pula, jurulatih skuad kebangsaan, Shin Tae-yong turut mengumumkan senarai 26 nama pemain yang akan mengukuhkan skuad Garuda dalam liga persahabatan berkenaan. 

Daripada 26 pemain tersebut, terdapat lapan pemain naturalisasi termasuk muka-muka baru iaitu Shayne Pattynama, Ivar Jenner dan Rafael Struick.