PEMAIN tengah Terengganu, Liridon Krasniqi, mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan skuad Peteh itu sebaik saingan Liga Malaysia musim ini berakhir.

Mengakui keputusan untuk berpisah dengan pasukan gergasi Pantai Timur itu bukan sesuatu yang mudah, namun ia perlu diambil demi memastikan kelangsungan kariernya dalam bola sepak.

Liridon turut memberikan bayangan bahawa dia berkemungkinan besar akan kekal beraksi dalam Liga Malaysia musim depan tetapi bersedia untuk berhijrah seandainya ada tawaran daripada kelab di luar negara.

Untuk rekod, Liridon telah melakukan 26 penampilan dalam kesemua kejohanan bersama Sang Penyu musim ini.

"Saya akan tinggalkan Terengganu dan saya rasa saya memperoleh tahun yang amat baik di sini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Saya akan pergi bukan kerana apa-apa, ia hanya keputusan saya yang mahukan sesuatu yang baru.

"Sudah pasti saya 100 peratus mahu kekal dalam Liga Malaysia kerana saya mahu kembali ke dalam skuad kebangsaan. Itulah sasaran saya.

"Tetapi saya memerlukan lebih perlawanan untuk menyerlah dan memberikan sesuatu yang lebih baik.

"Itulah sasaran saya. Saya masih muda, baru berusia 31 tahun dan saya masih boleh bermain," katanya.