[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
SUKAN

Liverpool kian hampiri Ekitike

Sinar Harian 17/07/2025 | 23:20 MYT
Hugo Ekitike ketika menjalani sesi latihan bersama Eintracht Frankfurt di stadium di Hesse, Frankfurt, Main, Jerman, 9 Julai 2025. - Facebook Eintracht Frankfurt
PENYANDANG juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dilaporkan sedang berada di peringkat rundingan akhir untuk mendapatkan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike, dengan perpindahan dianggarkan melebihi £70 juta (RM398 juta).

Menurut sumber terdekat, The Reds menyasarkan untuk melengkapkan perpindahan tersebut menjelang akhir minggu ini, sekali gus menewaskan pesaing dari EPL, Newcastle United yang sebelum ini menyaksikan bidaan The Magpies berjumlah £70 juta ditolak oleh kelab Bundesliga berkenaan.

Penyerang berusia 23 tahun itu juga dilaporkan bersedia untuk menyertai skuad juara EPL tersebut, yang kini sedang giat mencari penyerang tengah baharu bagi memperkukuh barisan serangan musim depan.

Musim lalu, Ekitike menjaringkan 15 gol dalam 31 penampilan sebagai pemain dari kesebelasan utama, membantu Frankfurt menamatkan saingan Bundesliga di tangga ketiga.

Selain tajam di hadapan gawang, beliau juga berperanan sebagai pengumpan dengan lapan bantuan gol, meletakkannya dalam kelompok enam peratus teratas dalam kalangan penyerang dari segi penciptaan peluang di Jerman musim lalu.

Pemain kebangsaan Perancis itu juga mencatatkan 117 percubaan ke arah gol - paling banyak dalam Bundesliga musim lalu.

Liverpool sebelum ini juga telah menyatakan minat terhadap penyerang Newcastle, Alexander Isak, namun kelab berkenaan enggan melepaskan pemain Sweden itu pada sebarang harga.


Setakat ini, pasukan kendalian Arne Slot telah mengukuhkan barisan tengah melalui pembelian Florian Wirtz dalam perjanjian yang berpotensi memecah rekod perpindahan British bernilai £116 juta (RM660 juta), selain mendapatkan dua pemain pertahanan iaitu Milos Kerkez (£40 juta/RM227 juta) dan Jeremie Frimpong (£30 juta/RM170 juta).

Dalam perkembangan berkaitan, Newcastle dijangka akan mempercepat rundingan untuk mendapatkan penyerang Brentford, Yoane Wissa, setelah usaha The Magpies untuk mendapatkan Ekitike menemui jalan buntu. - Sinar Harian












#Liverpool #Hugo Ekitike #Eintracht Frankfurt #jendela perpindahan #Newcastle United