Low Juan Shen terima tawaran bergandingan bersama V Shem

Astro Arena
Ogos 16, 2021 22:11 MYT
Dalam kesukaran yang dihadapi ketika COVID-19, Juan Shen berharap bergandingan bersama V Shem memberinya peluang lebih kerap beraksi dalam lebih banyak pertandingan. - Foto Astro ARENA
MENERIMA tawaran membentuk gandingan bersama pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem bukan satu yang mudah buat Low Juan Shen.
Juan Shen yang baru pulih daripada kecederaan lutut serius turut berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, soal perbincangan hati ke hati bersama gandingan asal Azyrin Ayub apabila memilih haluan baru.
"Selepas perbincangan telah dilakukan, saya mengambil keputusan untuk bergandingan bersama V Shem selepas ini. Ia merupakan satu peluang terbaik buat saya untuk meningkatkan lagi mutu permainan di peringkat antarabangsa," kata Juan Shen.
"Semestinya, tidak lagi bergandingan bersama Azyrin merupakan sesuatu yang amat menyedihkan selepas lama bersamanya.
"Tetapi dalam kesukaran yang dihadapi ketika COVID-19 ini, saya berharap bergandingan bersama V Shem adalah peluang untuk lebih kerap mendapatkan peluang beraksi dalam lebih banyak pertandingan."
BACA: Goh V Shem sasar rebut tempat Piala Thomas di samping gandingan baru
Sementara itu, kem perseorangan lelaki seperti Soong Joo Ven, terkesan dengan pembatalan dua kejohanan di benua Asia, Terbuka korea dan taiwan.
Selain kekangan tiada tempat untuk berlatih di sebalik belenggu COVID-19, perancangan untuk beraksi di Amerika Selatan dan Eropah juga bakal menelan perbelanjaan besar.
#Goh V Shem #kecederaan lutut #Azyrin Ayub #haluan baru #Low Juan Shen #Soong Joo Ven #perbelanjaan besar #tiada tempat berlatih #gandingan #badminton