LTdL 2022: Jersi Merah Raja Bukit kekal milik Muhamad Nur Aiman

Bernama
Oktober 13, 2022 11:13 MYT
Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff (depan) ketika melakukan pendakian sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2022 peringkat ketiga sejauh 123.7 Kilometer dari Putrajaya ke Genting Highlands hari ini. - Foto BERNAMA
GENTING HIGHLANDS: Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mengekalkan gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) pada saingan peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 laluan Putrajaya ke Genting Highlands.
Muhamad Nur Aiman pada perlumbaan sejauh 124.2 kilometer (km) hari ini, tampil cemerlang selepas menakluk dua daripada empat zon pendakian ditawarkan membabitkan Tekali dan Look Out Point Ampang.
Pelumba pasukan Ara Pro Racing Sunshine Coast, Carter Bettles dan Ivan Ramiro Sosa Cuervo dari pasukan Movistar Team kemudian mengungguli dua zon pendakian paling mencabar pada peringkat ketiga itu membabitkan Gohtong Jaya dan puncak Genting Highlands.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan Muhamad Nur Aiman terus mengungguli gelaran Raja Bukit selepas mengumpul 29 mata diekori rapat Sosa (25 mata) dan pelumba EF Education-Easypost, Hugh John Carthy (24 mata).
"Segala yang saya rancang hari ini serba menjadi apabila saya berjaya tawan dua zon pendakian awal perlumbaan yang membolehkan saya mengutip mata.
"Esok tiada zon pendakian ditawarkan dan saya akan kembali pertahankan semula jersi ini pada peringkat kelima (Sabtu) dan saya amat berharap dapat mempertahankan jersi ini sehingga tamat perlumbaan walaupun cabaran tahun ini adalah jauh lebih sengit," katanya ketika ditemui.
Pada perlumbaan peringkat ketiga itu gelaran pelumba terbaik negara menjadi milik pelumba muda skuad kebangsaan, Kee Zhe Yie apabila mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-39.
-- BERNAMA
#Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff #ltdl 2022 #Raja Bukit Jersi Merah #Le Tour de Langkawi