GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
SUKAN

LTdL 2025: Muhammad Izzat Hilmi muncul pelumba terbaik ASEAN peringkat keenam

Bernama 03/10/2025 | 23:15 MYT
Mohamad Izzat Hilmi merangkul Pelumba ASEAN Terbaik pada perlumbaan peringkat keenam LTDL 2025 dari Shah Alam ke Port Dickson, 3 Okt 2025. --fotoBERNAMA
PORT DICKSON: Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil berjaya meraih gelaran pelumba terbaik ASEAN pada saingan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 meskipun tidak berada dalam kondisi terbaik.

Pelumba kelahiran Batu Pahat Johor itu berkata beliau merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang membantunya sehingga berjaya meraih kedudukan terbaik bagi perlumbaan semalam.

"Walaupun kurang sihat, saya tetap cuba yang terbaik. Sasaran saya hari ini lima terbaik dan syukur Alhamdulillah, dapat nombor empat.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dari awal hingga akhir perlumbaan," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Ini merupakan gelaran kedua buat Muhammad Izzat Hilmi sebagai pelumba terbaik ASEAN bagi saingan peringkat selepas turut melakukannya pada peringkat keempat (Kuala Terengganu-Kemaman) pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat Hilmi berharap momentum yang dimilikinya itu dapat diteruskan untuk baki dua peringkat perlumbaan.

"Masih ada dua peringkat lagi. Kalau perlumbaan berakhir dengan pecutan beramai-ramai, saya akan cuba ambil posisi terbaik untuk naik podium," katanya.

-- BERNAMA

#LTdL #Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil #pelumba terbaik ASEAN #Malaysia Pro Cycling