LTDL: Laluan sekitar Lembah Kelang terlibat, pengguna jalan raya diminta rancang perjalanan

Astro Awani
Februari 28, 2017 05:08 MYT
Pengguna jalan raya di sekitar Lembah Kelang dinasihatkan supaya merancang perjalanan sempena peringkat akhir LTDL. - Gambar fail
Beberapa jalan di sekitar ibu negara akan ditutup pada Rabu (1 Mac) bagi memberi laluan kepada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).
Penutupan jalan itu melibatkan perlumbaan peringkat kelapan sejauh 121 kilometer dari Setiawangsa ke Putrajaya.
Bermula di Setiawangsa, pelumba akan menggunakan laluan Jalan Setiawangsa, Jalan Jelatek, Jalan Ampang, Jalan Taman Putra, Jalan Hulu Langat, Jalan Sungai Tekali, hinggga ke Jalan Sungai Lalang berdekatan Empangan Semenyih dan seterusnya ke Pekan Semenyih.
Pelumba seterusnya akan melalui Jalan Semenyih, Persiaran Tasik Kesuma, seterusnya ke Jalan Bangi Lama.
Sejurus merentasi kawasan Bangi melalui Jalan Bangi, pelumba akan merentas laluan menyeberangi Sungai Langat melalui Jalan Abu Bakar Baginda, Jalan Haji Yusoff, Jalan Aman, dan Jalan Ayer Hitam memasuki kawasan Putrajaya.
Sementara itu di Putrajaya, pelumba akan terus berkayuh di laluan Jalan P14, Lebuh Perdana Timur, Lebuh Perdana Selatan, sebelum memasuki pusingan di Lebuh Wadi Ehsan, Jalan Tun Hussein, dan Lebuh Bestari.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan ketika perlumbaan tersebut berlangsung dan diminta memberi kerjasama bagi menjayakannya.
#jalan ditutup #Le Tour de Langkawi #LTdL #sukan lumba basikal