SPORTS
MA jangka dapat enam jurulatih baharu bulan ini atau Jun - Ballard

Ballard berkata pelantikan itu penting untuk pelan jangka panjang MA dalam mengembangkan program kebangsaan kepada lebih 100 atlet. - Foto fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) menjangkakan ketibaan enam jurulatih baharu pada Mei atau Jun dengan beberapa orang jurulatih tempatan berkemungkinan memulakan tugas pada hujung bulan ini.
Kesemua mereka sudah dimaklumkan dan langkah seterusnya ialah memuktamadkan kontrak, kata Pengarah Teknikal MA Robert Ballard yang menambah kesatuan itu sentiasa berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak tahun lepas untuk menyelesaikan perkara ini.
Beliau berkata MA berharap pelantikan berkenaan dapat dibuat segera kerana permintaan untuk mendapatkan jurulatih baharu itu telah dikemukakan beberapa bulan sebelum ini dan bukannya sejak minggu lepas.
"Kami juga membuat susulan pada Oktober, November, Disember (tahun lepas) dan beberapa minggu kebelakangan ini dengan MSN, tetapi kelewatan tidak dapat dielakkan apabila melibatkan pembiayaan, visa dan hakikat bahawa beberapa orang jurulatih antarabangsa masih terikat dengan pekerjaan di tempat lain. Ia mengambil masa."Kami berharap (pelantikan) pada Mei atau Jun. Ada kemungkinan sebahagian daripada mereka akan tiba menjelang hujung bulan ini kerana ada beberapa orang jurulatih tempatan dalam kalangan enam jurulatih baharu itu," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini semalam.
Ballard berkata pelantikan itu penting untuk pelan jangka panjang MA dalam mengembangkan program kebangsaan kepada lebih 100 atlet bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Kami perlu perluas capaian dan sekiranya kami dapat jurulatih baharu, kami akan mempunyai kemampuan dari segi masa dan tenaga untuk menyusun program ini dan membantu jurulatih negeri dengan atlet mereka yang berada dalam program kebangsaan.
"Diharapkan, ia dapat membantu jurulatih menerusi bengkel-bengkel dan membangunkan atlet muda yang berpotensi untuk maju," katanya.
Mengulas mengenai kejohanan Super Series itu, Ballard berkata beliau teruja melihat kemunculan bakat baharu dalam sukan olahraga Malaysia dengan atlet muda dapat mencabar atlet senior dan memacu kemajuan melalui persaingan sihat.
"Saya sudah melihat kejayaan ini di Australia, kita mempunyai anak muda yang sebenarnya mendorong atlet senior untuk berusaha lebih gigih dan saya sukakan situasi ini, apabila atlet senior bertambah baik, atlet muda juga akan berbuat perkara sama," katanya.
Ballard berkata walaupun temasya Sukan SEA 2025 ialah penanda aras utama untuk tahun ini, ia perlu dilihat sebagai batu loncatan dan bukannya sebagai matlamat akhir.
Beliau juga menggariskan visi jangka panjang menjelang Sukan Olimpik 2032 dengan harapan untuk melihat atlet Malaysia berjaya mara ke peringkat akhir di pentas dunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami