Argentina terkedu diikat satu sama oleh Iceland.

Ya, Iceland, negara yang seluruh populasinya tidak lebih dari 400,000 orang dan jurulatih pasukan kebangsaannya merupakan seorang doktor gigi.

Messi gagal menemui jaringan daripada keseluruhan 11 percubaannya, tambah perit apabila gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-64.

Apatah lagi Cristiano Ronaldo semalam melakar hatrik untuk bantu Portugal mencuri satu mata daripada Sepanyol, ini hari yang mahu dilupakan oleh Messi.

Maaf Argentina, Iceland ada Thor. Hannes Thor Halldorsson.

Penjaga gol berusia 34 tahun itu menjadi wira apabila cekap menangani tujuh serangan tepat ke gawang kawalannya, sekaligus diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.

'Thor' ini bukanlah sehebat Dewa Petir dari dunia komik Marvel, dia hanyalah seorang penerbit filem pada masa dia tidak bermain bola sepak!

Biarpun hanya menguasai 28 peratus bola sepanjang perlawanan, Iceland teguh menghalang serangan demi serangan yang dilancar La Albiceleste yang dibarisi para penggempur merbahaya seperti Sergio Aguero dan Angel Di Maria.

Pada perlawanan pertama dalam sejarah penyertaan pertamanya dalam pusingan akhir Piala Dunia, Iceland menampilkan persembahan seperti pasukan yang berpengalaman di pentas pertarungan tertinggi sukan bola sepak itu di hadapan 40,000 penonton di Stadium Spartak, Moscow.

Gol pembukaan Aguero pada minit ke-19 seperti memberi bayangan bahawa juara dunia dua kali itu mampu meraih tiga mata, sebelum ia dipadamkan akibat kecelaruan pertahanan Argentina yang membolehkan Alfred Finnbogason menjaringkan gol pertama Iceland dalam Piala Dunia pada minit ke-23.

Mungkinkah mereka akan menjalani satu lagi kempen ajaib selepas berjaya melangkah ke suku akhir Euro 2016 sebelum akur kepada tuan rumah, Perancis?

Iceland perlu meneruskan momentum untuk sekurang-kurangnya menang satu dan tiada kalah bermula dengan berdepan Nigeria pada 22 Jun dan Croatia pada 27 Jun bagi meneruskan perjuangan ke pusingan 16 terakhir.

Tekanan pula semakin memuncak untuk Messi dan seluruh kem Argentina yang mahu mengubati kempunan menjulang piala keramat itu yang terlepas ke tangan Jerman pada 2014 di Brazil, maka perlu memastikan kemenangan terhadap dua lagi baki perlawanan bagi saingan peringkat Kumpulan D.