SPORTS

Mahathir, Momo layak ke final Thailand Extreme Fest

Ian Johan Ariff 25/05/2025 | 05:15 MYT
Mahathir (kiri) dengan Momo turut dijemput melakukan demo semasa Thailand Extreme Fest di Central Pattaya. -Foto Astro AWANI/Ian Johan Ariff
PATTAYA: Dua peluncur papan selaju muda negara, Mahathir Nor Daniel, 16, dan Mer Nullah Momo Khan, 15, membuka kempen Road to LA 2028 dengan langkah kanan apabila layak ke final kategori lelaki di Thailand Extreme Fest 2025 di Pattaya.


Ringkasan AI
  • Dua peluncur muda negara, Mahathir Nor Daniel dan Mer Nullah Momo Khan, layak ke final kategori lelaki di Thailand Extreme Fest 2025 di Pattaya selepas mencatat markah kelayakan masing-masing 52.33 dan 52.67.
  • Mereka dipilih menyertai program Road to Los Angeles 2028 (RTLA) oleh MySKATE dan MSN berdasarkan prestasi cemerlang di kejohanan tempatan dan antarabangsa, serta kedudukan ranking Olimpik yang mengatasi beberapa atlet senior.
  • Kejohanan ini juga menyaksikan bintang muda Thailand, Kirin Petkiree, muncul peserta terbaik pusingan kelayakan, manakala final lelaki dijadual berlangsung pada Ahad sebagai sebahagian persiapan Sukan SEA 2025.


Dalam pusingan kelayakan Sabtu lalu, Momo menduduki tempat ke-11 dengan 52.67 mata manakala Mahathir di tempat ke-12 dengan 52.33 mata, sekali gus mengesahkan tempat ke final bersama peluncur terbaik rantau ini.

Pemilihan Mahathir dan Momo ke dalam program khas Road to Los Angeles 2028 (RTLA) oleh Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dibuat berdasarkan prestasi cemerlang mereka di kejohanan tempatan dan antarabangsa, termasuk penyertaan di Kejohanan Dunia Street Tokyo 2023.

Kedua-dua atlet muda ini juga berada di ranking kelayakan Olimpik 2024 World Skate pada kedudukan lebih tinggi daripada beberapa atlet senior negara.

Ini merupakan program perintis bagi RTLA MySKATE untuk membuktikan keberkesanan program sebelum pasukan skateboarding ini boleh menambah jumlah atlet di bawah program ini.

Program ini dikendalikan Jawatankuasa Teknikal Kebangsaan Skateboarding (NTC) MySKATE, yang bertanggungjawab merancang program pembangunan jangka panjang ke arah impian podium Olimpik.




Kejohanan anjuran Persatuan Sukan Ekstrem Thailand (TESA) ini menyaksikan penyertaan ramai atlet pelapis tuan rumah, termasuk bintang muda berusia 10 tahun, Kirin Petkiree atau Firas, yang mengejutkan ramai apabila muncul peserta terbaik pusingan kelayakan dengan 72.33 mata.

Peluncur nombor satu Thailand, Thawatchai Siang-Ueng atau Chai, pula hanya berada di tempat kelapan selepas tidak mempamerkan persembahan yang meyakinkan.

Final kategori lelaki akan berlangsung pada Ahad, jam 3.30 petang waktu tempatan.

Dalam kategori wanita, atlet Olimpik muda Thailand, Vareeraya Sukasem, 13, muncul juara selepas mengatasi Chan Kao Udomphen atau Mini, 10 tahun, menerusi percubaan single trick terakhir yang mendebarkan.

Thailand Extreme Fest merupakan kejohanan jemputan yang menjadi sebahagian daripada persiapan negara itu sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-33 pada 2025.






#MYSKATE #momo khan #mahathir nor daniel #skateboarding #road to la