SUKAN

Mainz kalah rayuan mahkamah berhubung penamatan kontrak Anwar El Ghazi kerana pro-Palestin

Bernama 13/11/2025 | 01:10 MYT
Anwar menjadi pemain bebas selepas dilepaskan oleh Mainz pada 3 November atas alasan "kenyataan dan hantarannya di media sosial". - Foto X/Anwar El Ghazi
BERLIN: Kelab bola sepak divisyen satu Jerman FSV Mainz 05, kalah dalam rayuan mahkamah berhubung penamatan kontrak pemain Anwar El Ghazi akibat kenyataannya yang pro-Palestin, umum kelab itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Mahkamah menolak rayuan FSV Mainz 05 berhubung penamatan kontrak Anwar El Ghazi yang pro-Palestin.
  • Keputusan asal pemecatan Anwar pada musim panas 2024 kekal berkuat kuasa tanpa notis.
  • Anwar dilepaskan selepas kritik frasa "Dari sungai ke laut" di akaun Instagram, tetapi mahkamah anggap tindakan itu tidak berasas dan kelab bayar gaji setuju kontrak.


Mahkamah Buruh Negeri Rhineland-Palatinate pada Rabu mengumumkan keputusannya untuk menolak rayuan dalam kes Anwar.

Dengan itu, keputusan asal dari musim panas 2024 kekal berkuat kuasa," menurut kelab itu di laman sesawang rasminya.

"Ketika itu, Mahkamah Buruh Mainz memutuskan yang pemecatan serta-merta Anwar oleh kelab adalah tidak sah. Susulan keputusan itu, Mainz 05 membayar pemain Belanda itu gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak bagi tempoh berkenaan," menurut kenyataan itu.

Mahkamah berpendapat kenyataan pemain itu adalah di dalam ruang kebebasan bersuara dan oleh itu, "pemecatan tanpa notis tidak berasas."

Sementara itu, Pengerusi FSV Mainz 05, Stefan Hoffman berkata kelabnya menerima keputusan mahkamah itu.

Mainz sebelum ini menggantung dan memberi amaran kepada Anwar pada Oktober 2023 berhubung penggunaan frasa "Dari sungai ke segara'' di akaun Instagramnya.

"Dari sungai ke laut, Palestin pasti merdeka'' adalah slogan Palestin yang merujuk kepada wilayah antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean, termasuk Israel, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Anwar menjadi pemain bebas selepas dilepaskan oleh Mainz pada 3 November atas alasan "kenyataan dan hantarannya di media sosial".

Beliau memberi reaksi terhadap penamatan kontrak itu di platform X (Twitter) dengan menulis,

"Nyatakan kebenaran, walaupun bermakna anda sendirian."

"Kehilangan sumber rezeki saya tidak bermakna apa-apa berbanding neraka yang sedang menimpa orang tidak bersalah dan lemah di Gaza," kata bekas pemain antarabangsa Belanda itu.

-- BERNAMA






#Anwar El Ghazi #penamatan kontrak #FSV Mainz 05 #pro-Palestin