SPORTS

Malaysia bakal kembali di puncak! FeiDin bergelar beregu nombor satu dunia bermula Selasa ini!

Astro Arena 25/05/2025 | 05:10 MYT
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. - Gambar fail
BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, bakal secara rasmi menjadi pasangan nombor satu dunia bermula Selasa ini, menggantikan tempat wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Astrup-Rasmussen hilang kedudukan tersebut selepas mereka tewas kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia semalam.

Walaupun Sze Fei-Izzuddin (kedua dunia, dengan 91,090 mata) tewas di suku akhir Masters Malaysia, penyingkiran juara bertahan, Astrup-Rasmussen, di separuh akhir akan menyaksikan mereka melepaskan kedudukan teratas selepas kehilangan mata ranking yang besar (90,411).

Goh V Shem-Tan Wee Kiong merupakan gandingan terakhir dari Malaysia mempertahankan kedudukan nombor satu antara 10 November 2016 sehingga 16 Mac 2017.

Beregu ketiga dunia, Aaron-Wooi Yik, kini dengan dengan 83,170 mata, tidak akan dapat memintas Sze Fei-Izzuddin atau Astrup-Rasmussen, namun mampu mengurangkan jurang jika mereka memenangi gelaran hari ini.

Sebelum ini, beberapa pasangan lelaki dari Malaysia pernah disenaraikan sebagai nombor satu dunia.

Mereka ialah Razif-Jalani Sidek (1990), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1992), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1996), Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (2004) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2007).






#badminton #beregu nombor satu dunia #Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani #Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen