SUKAN

Malaysia bawa momentum juara dunia untuk misi pingat emas Sukan SEA

Bernama 08/12/2025 | 03:40 MYT
Michael berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat dari segi strategi dengan pasukan kekal berwaspada dan fokus. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia mempertahankan gelaran juara dunia selepas memenangi Kejohanan Dunia e-Sukan IESF 2025 di sini malam tadi menyuntik keyakinan tinggi kepada skuad negara dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2025 di Thailand.

Ketua jurulatih kebangsaan, Michael Bocado berkata, kemenangan itu hadir pada waktu yang tepat, sekali gus meningkatkan keyakinan serta momentum pasukan ketika anak buahnya memasuki fasa akhir persiapan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai secara rasmi esok.

"Sudah pasti kami akan melakukan segala yang termampu untuk meraih emas Sukan SEA dengan baki masa yang ada akan dimanfaatkan untuk berlatih sebaik mungkin. Secara keseluruhan, saya rasa kami mempunyai momentum yang baik," katanya yang lebih dikenali sebagai "Arcadia" kepada pemberita malam tadi.

Malaysia mempamerkan aksi terbaik untuk menewaskan Kemboja 3-0 pada perlawanan akhir kejohanan itu yang berlangsung di Quill City Mall, sekali gus mempertahankan gelaran dunia IESF buat tahun kedua berturut-turut.

Pasukan juara bertahan itu dibarisi Idreen Jamal (Momo), Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekysss), Hazziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan Ealtond Rayner (Lolealz).

Michael berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat dari segi strategi dengan pasukan kekal berwaspada dan fokus.

"Momentum sudah ada, begitu juga dengan keyakinan tetapi sudah pasti kami tidak akan terlalu yakin. Kami akan menambah lebih banyak strategi, menambah lebih banyak hero yang boleh kami gunakan dan sudah pasti kami akan memberikan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Sekysss mengakui, prestasi konsisten pasukan sepanjang kejohanan dunia itu telah mengukuhkan lagi keserasian mereka.

Beliau turut menekankan bahawa meraih pingat emas Sukan SEA akan membawa makna simbolik yang sangat besar kepada arena e-sukan negara.

"Jika menjadi juara Sukan SEA, itu akan menjadi sesuatu yang amat bersejarah bagi kami," katanya.

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menetapkan sasaran dua pingat emas bagi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) lelaki dan wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Malaysia belum pernah memenangi emas acara MLBB sejak ia diperkenalkan pada 2019, dengan pasukan lelaki membawa pulang perak manakala wanita memperoleh gangsa pada edisi 2023 di Kemboja.

-- BERNAMA




#Kejohanan Dunia e-Sukan #IESF 2025 #Sukan SEA 2025 #Arcadia