KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum bersedia mewujudkan industri sukan kerana bukan memainkan peranan peneraju dalam bidang berkaitan sukan, demikian persidangan industri sukan diberitahu hari ini.

Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata mengasaskan industri sukan terlebih dahulu perlu kelengkapan ekosistem terutama daripada segi dasar kepercayaan, komunikasi, peraturan, perkongsian ilmu dan pengawalan.

Menurutnya, semua komponen tersebut perlu diasaskan terlebih dahulu sebelum menyifatkan wujudnya industri sukan di negara ini.

"Saya lihat industri sukan masih tumpang industri lain, contohnya, industri tekstil gunakan pemain bola sepak jual produk mereka, kita sebenarnya digunakan bukan memainkan peranan utama," katanya pada persidangan tersebut yang dianjurkan di luar Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) di Bukit Jalil, di sini, semalam.

Ahmad Shapawi sebelum ini menyeru semua pihak termasuk peminat untuk melibatkan diri dalam usaha menjadikan sukan bukan sahaja sebagai industri, malah mampu menyumbang ke arah pembangunan negara dan membantu merangsangkan pertumbuhan ekonomi.

Ahli panel lain termasuk Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Prof Datuk Dr S. Shamala, Pengurus Stadium dan Fasiliti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kevin Ramalingam dan pengasas Purple League (M) Sdn Bhd., Datuk Jack Koh.

Dalam pada itu, Kevin tidak percaya wujud industri sukan di negara ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia itu berkata salah satu masalah yang wujud di negara ini ialah tiada persaingan dalam penyiaran sukan kerana ia dimonopoli oleh satu penyiar.

"Indonesia kalau pertandingan persahabatan, beberapa stesen televisyen akan tampil dan membuat tawaran untuk bersiaran tetapi di sini bukan sahaja saingan mesra tetapi persaingan pun susah," katanya.

Sementara itu, Koh, yang syarikatnya mengendalikan liga badminton profesional terulung Malaysia, berpendapat jika negara tidak dapat memajukan industri sukan, mungkin mereka boleh bekerjasama dengan negara lain di rantau Asia Tenggara untuk berbuat demikian.

Beliau juga berkata dasar kepercayaan dalam kalangan semua pihak adalah yang memacu industri sukan yang berjaya.

-- BERNAMA