Pasukan bola keranjang lelaki negara mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 48-119 kepada Jepun dalam perlawanan kumpulan A Kejohanan Asia, Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) di Changsa, China hari ini.

Pasukan Jepun mendahului 32-9 pada suku pertama sebelum meneruskan penguasaan mereka dengan mata 59-23 pada suku kedua perlawanan, kata FIBA dalam laman sesawangnya, www.fiba.com.

Jepun yang merupakan juara dua kali pada 1965 dan 1971, memperoleh 35 lagi mata dalam suku ketiga sebelum memastikan kemenangan sulung mereka dalam kejohanan ini dengan mata 119-48 dalam suku terakhir permainan.

Malaysia sebelum ini tewas 73-102 kepada India dalam perlawanan kedua kumpulan A, semalam.

Pasukan negara dijadualkan bertemu peneraju kumpulan A, Iran sementara Jepun akan menentang India dalam perlawanan di tempat yang sama, esok.