Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara menjadi hos Pesta Sukan Antarabangsa Ekstrem Dunia (FISE) Malaysia yang akan berlangsung selama tiga hari di Dataran Pekan Rabu, Langkawi, bermula Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli berkata sebanyak 4,000 peserta amatur dan profesional dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam acara roller, BMX dan papan selaju.

Jelajah Dunia FISE pertama ini mempunyai empat siri iaitu bermula di Montpellier (Perancis) disusuli Andorra, China dan berakhir di Malaysia.

"Acara ini adalah pilihan tepat untuk menarik lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa melawat Langkawi. Lebih-lebih lagi, sekarang ini musim cuti sekolah dan diharap lebih banyak penonton akan menyaksikan FISE ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, MyCEB, Zulkefli Sharif berkata FISE ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara luar dewan berskala besar.

"Acara ini juga melengkapkan inisiatif bagi meningkatkan pendedahan global mengenai pengalaman unik yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan sejajar dengan Tahun Festival Malaysia 2015,' katanya.