PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berpeluang memahat kejuaraan berganda dalam tempoh seminggu apabila dijadual turun beraksi dalam aksi akhir Malaysia Masters 2024 lewat petang ini.

Malah pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu juga berpeluang menambah kantungnya menerusi tawaran wang tunai sekiranya bergelar juara dalam saingan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kejohanan bertaraf Super 500 itu menawarkan AS$420,000 (RM1.979 juta) secara keseluruhan dengan juara acara perseorangan bakal membawa pulang AS$31,500 (RM148,434), manakala naib juara AS$15,960 (RM75,206).

Sekiranya bergelar juara Masters Malaysia, Zii Jia akan mengumpul keseluruhan AS$63,000 (RM296,868) dalam tempoh tujuh hari selepas turut meraih AS$31,500 ketika muncul juara Terbuka Thailand di Bangkok pada Ahad lepas.

Pemain berusia 26 tahun yang menghuni rangking ke-10 dunia itu bagaimanapun bukan berdepan saingan mudah untuk memperoleh durian runtuh tersebut.

Pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen menjadi halangan besar buat Zii Jia dalam perlawanan akhir nanti.

Zii Jia mara ke final pertamanya di Kuala Lumpur selepas membenam cabaran Ng Ka Long dari Hong Kong pada separuh akhir pada Sabtu, Axelsen pula mengintai gelaran sulung musim ini selepas melepasi halangan wakil China, Lu Guang Zu.

"Saya tidak pernah mara ke final di laman sendiri sebelum ini, jadi saya sudah tidak sabar untuk beraksi di pentas akhir," ujar Zii Jia.

Atas kertas kelebihan dilihat berpihak Axelsen apabila menang enam daripada sembilan pertemuan dengan Zii Jia termasuk kali terakhir pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, bulan lepas.

Namun sorakan padu ribuan peminat mampu membakar semangat Zii Jia untuk melakar kejutan di laman sendiri.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian