Seperti diramal, pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen merangkul kejuaraan badminton Malaysia Masters selepas dipaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan pemain Jepun, Kenta Nishimoto di pentas final acara perseorangan lelaki di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

Jaguh dunia dari Denmark berusia 24 tahun itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras selama 72 minit sebelum menang 21-13, 21-23, 21-18 ke atas Nishimoto untuk membawa pulang hadiah wang tunai US$26,259 (RM102,381).

Ini merupakan kemenangan kedua Axelsen ke atas lawannya berusia 23 tahun itu dalam tiga pertemuan antara mereka selepas pemain Jepun itu meraih kemenangan pertama pada Terbuka Jerman pada 2016 dan Axelsen menyamakan rekod pada Terbuka Jepun tahun lepas.

"Secara jujur, ini adalah kejayaan besar bagi diri saya," kata Axelsen, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, kepada pemberita selepas pertarungan sengit itu.

Beliau mengakui Nishimoto menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan ini dengan menyingkirkan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada pusingan pertama, pemain pilihan ketujuh Ng Ka Long dari Hong Kong di suku akhir dan pemain Denmark, Hans-Kristian Solberg Vittinghus di peringkat separuh akhir.

"Kenta (Nishimoto) mempamerkan aksi yang sangat bagus di sini. Beliau telah menyingkirkan beberapa pemain pilihan di sini. Bagaimanapun, saya tenang dan fokus untuk merangkul kejuaraan ini," katanya.

Beliau sekali mengulangi rasa tidak puas hati dengan peraturan baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menetapkan kesemua pemain dalam kelompok 15 terbaik dunia wajib beraksi dalam 12 kejohanan sepanjang tahun.

"Pemain terpaksa bermain dalam banyak kejohanan...saya terasa keadaan fizikal tetapi tumpuan saya tetap untuk Kejohanan All-England dan beberapa kejohanan Siri Super yang sangat penting.

"Kami (pemain) perlu menjaga badan kita...saya ingin bermain untuk lebih 10 tahun lagi, lihat sahaja Chong Wei dan pemain lain, mereka perlu bersedia untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini. Sudah pasti mereka mahu melakukan yang terbaik pada temasya sukan itu.

"Saya rasa BWF perlu membuat penilaian semula terhadap peraturan baharu itu," katanya.

Berdasarkan peraturan baharu yang ditetapkan, setiap pemain yang berada di ranking 15 teratas dunia perlu beraksi dalam 12 siri kejohanan sepanjang tahun termasuk tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan di tahap empat.

Seandainya pemain bertindak menarik diri atau tidak menyertai kejohanan yang diwajibkan, mereka akan didenda sebanyak US$5,000 (RM19,792) bagi setiap pertandingan.

Sementara itu, juara dunia 2013 dan bekas pemain nombor satu dunia, Ratchanok Intanon dari Thailand melakukan kejutan apabila merangkul kejuaraan acara perseorangan wanita selepas menundukkan pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan 21-16,14-21, 24-22.

Dalam final acara beregu wanita, pasangan Denmark, Kamilla Rytter Jihl-Christinna Pedersen meraih gelaran apabila membenam beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan 19-21, 22-20, 21-18 manakala gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet menewaskan Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China, 9-21, 22-20, 21-18 untuk menjuarai acara beregu campuran.

-- BERNAMA