BUKIT JALIL: Malaysia memulakan saingan Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan langkah kanan apabila mudah membenam pasukan di ranking ke-134 dunia, Turkmenistan dengan tiga jaringan berbalas satu.

Malaysia bermula garang di awal permainan dengan beberapa gerakan menarik dan berjaya menembusi gawang gol seawal minit ke-11 permainan menerusi Muhammad Safawi Rasid.

Beliau dengan tenang menolak masuk bola ke dalam gawang melepasi Orazmuhammedov Mammet selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol lawan.

Gol pembukaan itu membuatkan Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dan lima minit kemudian, stadium sekali lagi bergegar dengan jaringan kedua daripada Mohamad Faisal Halim.

Beliau memanfaatkan peluang selepas kesilapan pemain pertahanan Turkmenistan yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya.

Selepas mendahului dua gol, Malaysia mengendurkan asakan lalu membolehkan Turkmenistan merapatkan kedudukan pada minit ke-37 menerusi Annadurdyyev Altymyrat.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan lawan hanya bertahan 10 minit selepas pertahanan kiri, Corbin Ong kembali menggandakan kelebihan Harimau Malaya pada masa tambahan separuh masa pertama.

Masuk ke separuh masa kedua, Malaysia kurang melakukan ancaman kepada pihak lawan sekali gus membolehkan Turkmenistan menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Namun, kekebalan benteng negara diketuai Dion Cools dan Shahrul Mohd Saad dan ketangkasan kapten pasukan, Farizal Marlias berjaya mematahkan serangan berbahaya lawan yang diberi jolokan "The Greens" itu.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain pertahanan lawan, Bashimov Abdy dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua setelah menjatuhkan Mohamadou Sumareh.

Mohamad Faisal dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan yang menyaksikan kehadiran lebih 21,000 penonton itu.

Skuad kebangsaan akan bertemu Bahrain pada Sabtu ini sebelum perlawanan terakhir kumpulan menentang Bangladesh pada 14 Jun nanti.