Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
SUKAN

Malaysia terkandas, UAE tutup laluan ke Super 6

Bernama 11/10/2025 | 00:40 MYT
Pemain Terbaik Perlawanan Muhammad Waseem menjadi tonggak utama apabila mengetuai senarai pemukul dengan mengumpul 84 larian daripada 53 hantaran. - Facebook Malaysian Cricket Association
KUALA LUMPUR: Misi skuad kriket negara untuk menempah slot ke peringkat Super 6 Kelayakan Asia & Asia Timur-Pasifik Piala Dunia T20 Lelaki 2025 berakhir selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kedua Kumpulan A di Oman, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Al Amerat Cricket Ground Oman Cricket, UAE yang memenangi undian lambungan berjaya menyekat Malaysia kepada 161 larian untuk lima wiket, sebelum menamatkan saingan dengan 167 untuk empat wiket untuk meraih kemenangan dengan perbezaan enam wiket.

Pemain Terbaik Perlawanan Muhammad Waseem menjadi tonggak utama apabila mengetuai senarai pemukul dengan mengumpul 84 larian daripada 53 hantaran, manakala Alishan Sharafu menyumbang 34 larian penting bagi memastikan UAE mencapai sasaran dengan yakin.

Kekalahan ini merupakan yang kedua berturut-turut buat Malaysia, selepas tunduk kepada Qatar dengan lapan wiket dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada Khamis.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke Super 6, sebelum tiga pasukan terbaik pusingan itu mengesahkan tiket ke Piala Dunia T20 Lelaki 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh India dan Sri Lanka dari 7 Feb hingga 8 Mac.

-- BERNAMA







#Kriket #Super 6 #UAE #Kelayakan Asia & Asia Timur-Pasifik Piala Dunia