Malaysia tidak ketandusan bakat baharu dalam sukan - KBS

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 18, 2022 12:34 MYT
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Malaysia Sports League 2022 di Kompleks Sukan Shah Alam Panasonic Seksyen 21 Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah ketandusan bakat-bakat baharu dalam industri sukan ketika ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Malah, menurut beliau, kerajaan sentiasa menggarap dan mengetengahkan program-program yang mampu memangkin serta mencungkil potensi baharu di negara ini.
Jelasnya, penganjuran Malaysia Sports League (MSL) 2022 misalnya yang merangkumi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan juga merupakan penganjuran atau program yang berpotensi untuk mengumpulkan bakat-bakat baharu.
"Salah satu daripada keutamaan yang akan diberikan KBS adalah pembangunan bakat baharu. Ia adalah pelaburan masa depan bagi memastikan Malaysia tidak kekeringan penyambung legasi arena sukan negara.
"Untuk mencari bakat berkenaan, semua pihak perlu menggembleng tenaga secara proaktif. Dengan populasi lebih kurang 33 juta orang, saya percaya Malaysia tidak ketandusan permata baharu,” jelasnya selepas melancarkan MSL di Kompleks Sukan Shah Alam (Panasonic) petang tadi.
Tambahnya, program tersebut bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat selain mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi.
Ia akan disokong oleh agensi-agensi yang berkaitan dalam menjayakanya termasuk 15 Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS negeri) dan 122 Pejabat Belia dan Sukan Daerah di seluruh negara dengan sokongan badan sukan setempat yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).
Ujarnya, ia akan membabitkan beberapa jenis sukan termasuk futsal, bola jaring, badminton, sepak takraw dan bola keranjang.
#KBS #bakat baharu #Kementerian Belia dan Sukan #Ahmad Faizal Azumu #Malaysia Sports League #MSL 2022