SPORTS
Malaysia tuan rumah Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025

Hannah ketika sidang media selepas Program Merakyatkan Sukan Fiesta Lawn Bowls Segambut 2.0 di Pusat Boling Padang Kebangsaan, Kompleks Sukan Kebangsaan Bukit Kiara hari ini. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal melakar sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di ibu negara dari 4 hingga 8 Nov ini.
Ringkasan AI
- Malaysia Sebagai Tuan Rumah: Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kejohanan berprestij ini dari 4 hingga 8 November, selepas Hong Kong menarik diri daripada penganjuran.
- Peluang Besar untuk Atlet Tempatan: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan bahawa kejohanan ini memberikan peluang kepada atlet Malaysia untuk bertanding di peringkat dunia tanpa perlu ke luar negara.
- Penyertaan 12 Negara: Kejohanan ini akan disertai oleh negara-negara utama termasuk Australia, England, New Zealand, Afrika Selatan, India, Amerika Syarikat, dan Malaysia selaku tuan rumah.
"Perbadanan Stadium akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar. Ini adalah peluang besar buat negara, apatah lagi kebanyakan pasukan bertanding merupakan dari negara Komanwel," katanya selepas merasmikan Fiestabowls Segambut 2.0 di Bukit Kiara di sini hari ini.
Sebanyak 12 negara bakal berentap dalam kejohanan itu, antaranya Australia, England, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Kanada, India, Hong Kong, Ireland, Amerika Syarikat, Wales dan Malaysia selaku tuan rumah.
Mengulas lanjut, Hannah berkata PLBM kini dalam proses mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sokongan dan dana untuk memastikan kejohanan dapat dianjurkan dengan lancar dan cemerlang.
Penganjuran kejohanan itu turut menjadi kesinambungan kepada pencapaian cemerlang atlet negara Nor Farah Ain Abdullah, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2024.
Nor Farah Ain sebelum ini meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, April tahun lepas.
Sementara itu, Presiden PLBM Datuk Awalan Abdul Aziz mendedahkan bahawa Malaysia dipilih sebagai tuan rumah selepas Hong Kong menarik diri daripada menganjurkan kejohanan tersebut.
Katanya PLBM menerima surat pelantikan rasmi daripada Boling Padang Dunia pada Rabu lepas, sehari selepas Hong Kong memaklumkan penarikan diri atas sebab tidak memenuhi syarat penganjuran.
Katanya edisi 2026 kejohanan berkenaan dijangka akan kembali dianjurkan di Hong Kong.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami