MAM sedia bantu penganjur perlumbaan peroleh kebenaran

Bernama
Februari 15, 2021 20:07 MYT
Persatuan akan menyediakan surat permohonan rasmi yang akan ia serahkan sendiri kepada MKN dan KBS. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) menyeru penganjur acara yang perlukan bantuan dalam menganjurkan perlumbaan agar menghubungi persatuan itu.
Menurut kenyataan MAM pada Isnin, persatuan itu akan membantu menyediakan surat permohonan rasmi yang akan ia serahkan sendiri kepada Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan untuk semakan dan pertimbangan.
"Susulan perkembangan terkini yang membenarkan pembukaan separa sektor sukan dan rekreasi, MAM sedar dan memahami impak ekonomi yang dialami oleh komuniti permotoran di Malaysia. Justeru, kami ingin mengambil peluang ini untuk membantu mereka," demikian menurut kenyataan itu.
Penganjur dan promoter yang memerlukan bantuan diminta menghantar surat permohonan rasmi berserta nama acara, tarikh, jumlah peserta termasuk pasukan, bilangan pegawai terlibat serta prosedur operasi standard COVID-19 khusus untuk acara itu ke admin@mam.org.my.
-- BERNAMA
#Persatuan Permotoran Malaysia #MAM #ekonomi #sukan #keselamatan #operasi #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara