Manchester United kena sergah

Astro Arena
April 5, 2021 03:45 MYT
Marcus Rashford menjaringkan gol pembukaan pasukannya ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Brighton & Hove Albion di Old Trafford, Manchester, England, 4 Apr, 2021. (Foto AP)
MANCHESTER UNITED 2 BRIGHTON 1
Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan "perlu membakar semangat pemainnya ketika waktu rehat" yang menyaksikan Manchester United bangkit mengalahkan Brighton & Hove Albion 2-1 di tempat sendiri, awal pagi tadi.
Tandukan Danny Welbeck ke atas bekas kelabnya itu meletakkan Brighton yang diancam penyingkiran memecah kebuntuan perlawanan dalam babak pertama sebelum The Red Devils memperkemaskan permainan mereka selepas rehat.
Marcus Rashford menyamakan kedudukan dengan penyudah klinikal sementara Mason Greenwood yang baru pulih daripada kecederaan turut mencetak jaringan untuk mereka pulang dengan mata penuh, tujuh minit menuju masa kecederaan.
Kemenangan itu mengukuhkan lagi cengkaman mereka di tempat kedua, 14 mata dipisahkan dengan juara menanti, Manchester City, sementara 11 mata menerajui kelab di tempat kelima, Tottenham.
Solskjaer mendedahkan telah mengeluarkan kata-kata keras ketika rehat selepas menyaksikan barisan pemainnya buntu menghasilkan sebarang percubaan tepat dalam 45 minit kecuali satu rembatan Greenwood yang singgah ke tiang pada awal perlawanan.
Pengurus United itu, yang turut memaklumkan bahawa Eric Bailly tidak diturunkan kerana positif COVID-19, berkata: "Agak jauh untuk mengejar City tetapi kami mahu mengukuhkan tempat kedua. Dalam babak kedua, kami memperagakan beberapa aksi menarik. Semangat perjuangan mereka perlu dikobarkan ketika rehat."

1/2 - Bruno Fernandes averages one assist for every two Premier League appearances at Old Trafford (11 assists in 22 games), the best ratio for any Manchester United player (min. 2 apps). Regularity. pic.twitter.com/WbHQkCmgRA

— OptaJoe (@OptaJoe) April 4, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Solskjaer kagum dengan karakter yang dipamerkan pasukannya dengan menghasilkan beberapa memukau untuk menang selepas gawang mereka dirobek terlebih dahulu buat kali kelapan musim ini.
Dia berkata: "Saya tidak ingin berada di posisi ketinggalan 0-1. Ia didorong oleh kesilapan yang tidak stabil di bahagian tengah, kami tidak menyekat hantaran silang dan kami gagal mempertahankannya.
"Kami berusaha untuk bangkit, saya fikir kami telah melakukannya berkali-kali musim ini jadi disebabkan itu kami tidak panik.
"Kami tahu kami harus mula menjana momentum, bola harus digerakkan dengan pantas, kami harus lebih bersama-sama dan dua gol yang kami hasilkan merupakan dua gol menarik untuk memenangi perlawanan ini."
Solskjaer cenderung mengetengahkan Dean Henderson daripada David de Gea untuk mengemudi gawang biarpun tonggak Sepanyol itu sudah kembali ke pangkuan pasukan.
"Dalam situasi Dean dan David, saya tahu ia sesuatu yang akan menjadi tajuk utama tetapi berita begini akan cepat berlalu," tambahnya.
#Ole Gunnar Solskjaer #Manchester United #Brighton & Hove Albion #Danny Welbeck #Marcus Rashford