SPORTS

Manchester United makin tenggelam di EPL

Sinar Harian 11/05/2025 | 21:30 MYT
Aksi Harry Maguire (atas padang) dan Niclas Fullkrug (kiri) ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan West Ham United di Old Trafford, Manchester, Britain, 11 Mei 2025. REUTERS
MANCHESTER United terus bergelut dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat satu lagi kekalahan memalukan, kali ini tunduk 0-2 kepada West Ham United di hadapan penyokong sendiri di Stadium Old Trafford pada Ahad.
Prestasi hambar ini menambah tekanan ke atas skuad kendalian Ruben Amorim yang kini semakin jauh daripada sasaran musim ini.
Jaringan pada setiap babak menerusi Tomas Soucek dan kapten Jarrod Bowen memastikan tiga mata buat The Hammers yang dikendalikan Graham Potter, sekali gus menamatkan kemarau lapan perlawanan liga tanpa kemenangan.
Tiga mata yang dibawa pulang ke London itu hadir dengan relatif mudah, menentang pasukan Manchester United yang menurunkan lima pemain utama yang dijangka akan beraksi menentang Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa di Stadium San Mames, Bilbao pada 22 Mei nanti.
Bagaimanapun, insiden kecederaan yang menimpa pertahanan muda, Leny Yoro, yang terpaksa menutup mukanya dengan jersi ketika menuju ke bilik persalinan, memberikan petanda bahawa Amorim mungkin perlu menyemak semula perancangan taktikal menjelang perlawanan akhir itu.
Kekalahan ke-17 United selepas 36 perlawanan dengan hanya mengumpul 39 mata kini menyamai rekod terburuk kelab dalam era Liga Perdana Inggeris – tujuh perlawanan tanpa kemenangan seperti dicatatkan pada tahun 1992. Namun, berbeza dengan ketika itu yang menyaksikan lima keputusan seri, kali ini United mengalami lima kekalahan berturut-turut.
Peluang terbaik United untuk mencipta gol dalam perlawanan ini hadir menerusi dua percubaan penyerang muda, Rasmus Højlund, serta satu tandukan bek tengah berpengalaman, Harry Maguire, namun kesemuanya dinafikan aksi cemerlang penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.
Kekalahan ini juga bermakna United tidak lagi berpeluang untuk menamatkan saingan liga di kedudukan lebih tinggi daripada tangga ke-13.
Selain kehilangan peluang pungutan mata yang lebih tinggi, United turut terlepas ganjaran wang tunai sekitar £3 juta bagi setiap tangga liga, di samping bakal berdepan kritikan hebat ekoran kempen liga terburuk mereka sejak disingkirkan daripada divisyen teratas pada musim 1973–74.
Selepas ini, jadual padat menanti The Red Devils dengan perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 17 Mei, diikuti perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur pada 22 Mei, dan aksi terakhir EPL menentang Aston Villa di Old Trafford pada 25 Mei.
Seterusnya, mereka dijadualkan terbang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk berdepan ASEAN All Stars pada 28 Mei. - Sinar Harian
#Manchester United #West Ham United #EPL #Liga Perdana Inggeris