SUKAN

Manchester United sedia lepaskan Hojlund dengan harga 30 juta pound

Agensi 03/08/2025 | 00:00 MYT
Manchester United dilaporkan bersedia untuk menjual penyerang Denmark, Rasmus Hojlund dengan harga sekitar 30 juta pound (RM170 juta). - Gambar AP
LONDON: Manchester United dilaporkan bersedia untuk menjual penyerang Denmark, Rasmus Hojlund dengan harga sekitar 30 juta pound (RM170 juta), meskipun pemain itu baru sahaja menjaringkan dua gol dalam aksi pra-musim menentang Bournemouth di Chicago, Rabu lalu.

Sejurus tamat perlawanan, Hojlund sempat menemui wartawan dan menyatakan hasrat untuk terus kekal di Old Trafford, walaupun kelab itu kini dikaitkan dengan minat terhadap penyerang Slovenia milik RB Leipzig, Benjamin Sesko.

Namun, situasi sebenar dilaporkan lebih kompleks.

Newcastle United turut berminat mendapatkan Sesko tetapi masih belum mencapai persetujuan dengan RB Leipzig bagi pemain berusia 22 tahun itu.

Sumber dalam kelab Manchester United pula menegaskan, mereka mampu melengkapkan perpindahan pemain sebelum sebarang penjualan dilakukan.

Bagaimanapun, mereka turut mengakui perlu menjual beberapa pemain bagi memastikan pematuhan kepada peraturan keuntungan dan kemampanan kewangan Liga Perdana Inggeris (Premier League).

Sekiranya Sesko menyertai United, kedudukan Hojlund dijangka semakin terpinggir dalam perancangan kelab.

Jualan Hojlund pada harga 30 juta pound turut dijangka menyebabkan kerugian dari sudut kewangan kerana nilai 'buku' pemain itu dianggarkan sekitar 43 juta pound (RM244 juta), berdasarkan kontrak lima tahun yang ditandatangani dua tahun lalu.

Setakat ini, United telah membelanjakan hampir 130 juta pound (RM738 juta) pada jendela perpindahan musim panas ini, termasuk bagi mendapatkan Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha. - Agensi


#Manchester United #Rasmus Hojlund #Old Trafford #Benjamin Sesko