MANCHESTER United dijangka akan meneruskan perpincangan dengan David de Gea walaupun kontrak penjaga gol itu sudah tamat tempoh.

Dengan perbincangan panjang di antara kedua-dua pihak gagal mencapai kesepakatan, pemain veteran Sepanyol itu akan bergelar pemain ejen bebas bermula hari ini.

Terdapat laporan mendakwa De Gea sebelum ini telah bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan tetapi kelab berkenaan memilih untuk tidak melanjutkannya dan hadir dengan beberapa terma berbeza.

United kini sedang hangat dikaitkan untuk mendapatkan penjaga gol Inter Milan, Andre Onana, tetapi mengesahkan bahawa perbincangan dengan De Gea akan terus berjalan.

"Kontrak David de Gea akan tamat tidak lama lagi tetapi perbincangannya masih terbuka buat penjaga gol yang telah berkhidmat panjang itu," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan.

United juga turut mengesahkan bahawa pemain tengah, Marcel Sabitzer, dan penyerang, Wout Weghorst, masing-masing akan kembali ke pangkuan Bayern Munich dan Burnley. - Stadium Astro