[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
SPORTS

Manny Pacquiao kembali ke gelanggang tinju, sasar Kejuaraan Dunia WBC

Agensi 09/05/2025 | 02:50 MYT
Pacquiao akan kembali ke gelanggang selepas hampir empat tahun bersara bagi merebut gelaran juara dunia kelas welter WBC menentang juara semasa, Mario Barrios, pada 19 Julai depan, di Las Vegas, Amerika Syarikat. - Gambar fail Reuters
MANILA: Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao, akan kembali ke gelanggang selepas hampir empat tahun bersara bagi merebut gelaran juara dunia kelas welter WBC menentang juara semasa, Mario Barrios, pada 19 Julai depan, di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan ESPN yang memetik sumber terdekat, perlawanan tersebut akan menjadi kemunculan semula rasmi Pacquiao, 46, yang kali terakhir bertarung pada Ogos 2021.
Dalam kerjaya yang mencatatkan 62 kemenangan, lapan kekalahan dan dua seri, Pacquiao menjadi satu-satunya peninju dalam sejarah yang memenangi kejuaraan dunia dalam lapan kelas berat berbeza - pencapaian yang belum dapat ditandingi sehingga kini.
Pacquiao yang juga dikenali dengan gaya agresif, kepantasan tangan dan kaki serta disiplin tinggi, bersedia untuk kembali bersaing di pentas tertinggi walaupun sudah menamatkan kerjaya profesionalnya sebelum ini.
“Ini bukan sekadar tentang tali pinggang. Ini tentang semangat, kehormatan, dan membawa harapan kepada rakyat Filipina,” kata wakil Pacquiao kepada media tempatan.
Selepas bersara, Pacquiao melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia politik.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Senator Filipina dari 2016 hingga 2022 dan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada 2022.
Kini, beliau kembali bertanding untuk kerusi Senat dalam pilihan raya umum Filipina yang dijadualkan pada 12 Mei ini.
Yang menarik, kembalinya Pacquiao ke dunia tinju berlaku hanya beberapa minggu sebelum beliau dijadualkan dianugerahkan tempat dalam International Boxing Hall of Fame, satu penghormatan tertinggi dalam dunia sukan tersebut.
Dalam perlawanan yang dijangka menarik perhatian global, Pacquiao akan berdepan Mario Barrios, peninju muda dari AS yang kini memegang gelaran juara WBC kelas welter.
Barrios dikenali dengan gaya menyerang yang agresif dan stamina tinggi, menjadikan pertarungan ini antara pengalaman dan kekuatan generasi baharu. - Agensi
#Manny Pacquiao #legenda tinju #Mario Barrios #Kejuaraan Dunia WBC