GEORGE TOWN: Keadaan padang berlumpur dan air bertakung akibat hujan lebat tidak mematahkan semangat Penang FC yang menunjukkan kesungguhan sehingga ke saat akhir menentang Selangor FC.

Penolong Ketua Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid berkata, kesungguhan itu merupakan perkara yang positif dan beliau yakin anak buahnya mampu bangkit pada aksi seterusnya.

Penang FC terikat 1-1 menentang Selangor FC pada perlawanan terakhir Liga Super 2022 di Stadium Bandaraya, di hadapan 3,067 penonton di sini malam tadi.

"Saya bersyukur kerana mendapat satu mata dan saya rasa kagum dengan kesungguhan pemain. Dari segi corak permainan, memang kami tidak akan dapat apa yang kami rancang memandangkan keadaan padang yang tidak cantik.

"Bagaimanapun, saya lihat mereka tetap bermain bersungguh-sungguh sehingga ke minit terakhir, ini benda yang positif untuk pasukan bagi persediaan untuk Malaysia Cup dalam tempoh 10 hari saja lagi," katanya kepada wartawan selepas perlawanan menentang Selangor malam tadi.

Penang FC pada 13 Okt lepas mengumumkan akan merehatkan Ketua Jurulatihnya, Datuk Zainal Abidin Hassan dan aksi terakhir Liga Super menentang Selangor menjadi perlawanan pertama Harimau Kumbang di bawah Manzoor Azwira.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe berkata kad merah yang dilayangkan kepada Shahrul Nazeem Zulkapar pada minit ke-28 sedikit sebanyak menjejaskan permainan pasukannya kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan pemain benteng tengah itu kerana beliau masih muda selain tidak sengaja menampan menggunakan tangan percubaan pasukan lawan menjaringkan gol.

"Keadaan padang juga menyukarkan pasukan untuk mengharungi perlawanan tapi saya nampak mereka masih mengekalkan corak permainan dan memberi kerjasama yang baik dalam pasukan," katanya. - BERNAMA