[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
SPORTS

Maradona tidak sepatutnya dirawat di rumah, menderita 12 jam sebelum kematian

Bernama 28/03/2025 | 07:30 MYT
Maradona meninggal dunia pada 25 Nov 2020 pada usia 60 tahun di sebuah kediaman peribadi di utara Buenos Aires. - Gambar fail/ Reuters
BUENOS AIRES: Hasil bedah siasat terhadap legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, didedahkan buat kali pertama pada Khamis semasa perbicaraan terhadap tujuh doktor dan jururawat yang merawatnya sebelum kematian pada 2020, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Hasil bedah siasat Diego Maradona menunjukkan beliau mengalami penderitaan selama 12 jam sebelum kematiannya akibat pengumpulan cecair di abdomen dan paru-paru.
  • Punca kematian dikenal pasti sebagai oedema paru-paru akut dengan kegagalan jantung serta kardiomiopati dilatasi (jantung membesar).
  • Perbicaraan terhadap tujuh doktor dan jururawat yang merawat Maradona bermula, dengan tuduhan membunuh tanpa niat. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Dua pakar forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Maradona memberi keterangan, yang bintang bola sepak itu mengalami penderitaan sehingga 12 jam sebelum kematiannya, akibat pengumpulan cecair di bahagian abdomen dan paru-paru.
Punca kematian dikenal pasti sebagai oedema paru-paru akut dengan kegagalan jantung serta kardiomiopati dilatasi, (keadaan jantung yang membesar) menurut laporan media tempatan mengenai perbicaraan itu.
Kematian Maradona bukanlah secara tiba-tiba atau tidak dijangka, menurut keterangan pakar forensik Carlos Mauricio Cassinelli di mahkamah seperti dipetik akhbar La Nacion. Jantung Maradona didapati dua kali ganda lebih berat daripada jantung normal.
Sebanyak 4.5 liter cecair terkumpul di pelbagai organ dalam tubuhnya, yang dipercayai berlaku sejak beberapa hari sebelum kematiannya. Cassinelli berkata Maradona sepatutnya tidak dirawat di rumah.
Lebih empat tahun selepas kematiannya, perbicaraan terhadap tujuh doktor dan jururawat yang merawat Maradona bermula pada Selasa.
Pejabat pendakwa raya mendakwa doktor peribadinya, Leopoldo Luque, serta pakar psikiatri, Agustina Cosachov, atas tuduhan membunuh tanpa niat, bersama seorang ahli psikologi, seorang lagi doktor, penyelaras perubatan syarikat insurans kesihatan, serta dua jururawat.
Semua tertuduh menafikan pertuduhan itu. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Diawal perbicaraan, prosiding dua kali ditangguhkan disebabkan isu perundangan yang masih belum diselesaikan. Prosiding dijangka berlangsung sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Julai, dengan sejumlah 192 saksi dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, perbicaraan terhadap seorang lagi jururawat diasingkan daripada kes utama dan akan dibicarakan di hadapan juri pada separuh kedua tahun ini.
Maradona meninggal dunia pada 25 Nov 2020 pada usia 60 tahun di sebuah kediaman peribadi di utara Buenos Aires. Beberapa minggu sebelum itu, beliau menjalani pembedahan otak. Siasatan mendapati kesilapan serius dilakukan dalam penjagaan di rumah terhadap juara Piala Dunia 1986 itu, yang ketika itu berada dalam keadaan kesihatan yang sangat lemah.
-- BERNAMA
#Diego Maradona #punca kematian #mahkamah #bedah siasat