SPORTS

Mark Milligan sah tinggalkan Harimau Malaya selepas dua bulan dilantik

Astro Arena 10/04/2025 | 03:00 MYT
Peter Cklamovski (kanan) bakal hilang orang kanan apabila pembantunya Mark Milligan (kiri) dilapor kembali ke Australia. - Foto Astro ARENA
PEMBANTU ketua jurulatih Harimau Malaya, Mark Daniel Milligan, secara rasminya meninggalkan pasukan itu selepas diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Bekas pemain kebangsaan Australia itu dipilih selaku penolong Peter Cklamovski Februari lalu bersama John Crawley (jurulatih penjaga gol) dan Matt Smith bagi memperkuat skuad kebangsaan dalam misi utama mara ke Arab Saudi ketika Kelayakan Piala Asia 2027 kini.
Pemain termuda skuad Piala Dunia 2006 Australia itu juga memiliki pengalaman dalam kancah tersebut selepas pernah merangkul kejuaaran Piala Asia 2015 bersama Socceroos.
Sebelum ini, menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Mark Milligan dilaporkan kembali ke negara kelahirannya untuk bergabung dengan kelab terkemuka, Newcastle Jets, menjelang musim baru kelak.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mark Milligan atas sumbangannya kepada Harimau Malaya.
"Walaupun tempohnya singkat, dia membantu langkah pertama bagi tempoh penting untuk persiapan aksi Malaysia menentang Nepal.
"Kami memahami dan menyokong keputusannya untuk mencari peluang di luar negara. Kami mengucapkan segala yang terbaik dalam usahanya pada masa hadapan," kata Peter Cklamovski.
Mark Milligan sempat menurunkan ilmu dan pengalamannya pada perlawanan pertama berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), bulan lalu.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Milligan menerusi hantaran di media sosial Harimau Malaya berkata peluang menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia banyak mengajarnya.
"Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya harap dan impikan dalam perjalanan saya ke hadapan," katanya.
Milligan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga Harimau Malaya dan penyokong pasukan bola sepak negara dalam usaha kelayakan Piala Asia 2027.
"Terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang," katanya.
#harimau Malaya #Mark Daniel Milligan #pembantu ketua jurulatih #Australia