PERSEKUTUAN Bola Sepak Brazil (CBF) pada Khamis mengesahkan pelantikan bekas pengurus Sao Paulo, Dorival Junior sebagai jurulatih skuad Samba.

CBF tidak menghuraikan lebih lanjut tempoh kontrak tersebut tetapi media Brazil melaporkan Junior mengendalikan Selecao sehingga Piala Dunia 2026.

Junior menggantikan Fernando Diniz yang menjadi pengurus interim sejak Julai 2023 susulan kekalahan tiga kali berturut-turut dalam aksi kelayakan Piala Dunia, termasuk tumpas 0-1 di tempat sendiri kepada musuh tradisi Argentina pada November lalu.

Brazil kini berada di tempat keenam dalam kelayakan Piala Dunia 2026 Amerika Selatan, kedudukan terakhir untuk meraih kelayakan automatik dari benua itu.

Bagaimanapun, sejurus pelantikan Junior, peminat Brazil was-was berhubung layanan yang bakal diberikan jurulatih berusia 61 tahun itu terhadap Neymar.

Ini kerana, Junior dan Neymar pernah berbalah di luar padang semasa kedua-duanya bergelar pemain dan jurulatih Santos pada 2010.

Neymar yang ketika itu berusia 18 tahun adalah bintang utama Santos dan semasa perlawanan menentang Atletico Goianiense, berlaku perang mulut antara mereka.

Pertengkaran berpunca daripada tindakan Junior yang menghalang Neymar mengambil sepakan penalti, sehingga tercetusnya insiden panas di tepi padang.

Situasi itu menyebabkan Junior mengeluarkan Neymar dan dia tidak menyenaraikan pemain tersebut untuk beberapa perlawanan akan datang sebagai hukuman.

Keputusan itu menyebabkan lembaga pengarah Santos naik angin dan akhirnya memecat Junior daripada jawatannya.

Kini, selepas lebih sedekad kemudian, Junior serta Neymar akan sekali lagi berkongsi bilik persalinan dan peminat teruja untuk mengetahui sama ada kedua-duanya telah melupakan kejadian itu atau masih ada dendam yang tersimpan.

Buat masa ini, Neymar terpaksa diketepikan selama berbulan-bulan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay Oktober lalu.

Sebagai rekod, Junior membantu Flamengo meraih gelaran Copa Libertadores dan Piala Brazil pada 2022 sebelum menyertai Sao Paulo.

Dia juga pernah mengendalikan Atletico Mineiro, Athletico Paranaense, Internacional, Vasco da Gama, Fluminense dan Palmeiras.

Junior dijangka tampil kali pertama pada Mac apabila Brazil menentang England dan Sepanyol dalam aksi persahabatan. - Sinar Harian