[TERKINI] Penamaan Calon PRN Sabah Bermula – Siapa Bakal Bertanding? Ikuti Perkembangan Terkini di Sini!
SUKAN

Masters Jepun: Pearly-Thinaah kian intai gelaran ketiga, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir

Bernama 15/11/2025 | 06:31 MYT
Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu bakal bertemu beregu tuan rumah Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam final. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah semakin menghampiri untuk merebut gelaran ketiga musim ini selepas mengesahkan slot ke pentas final Masters Jepun 2025 di Kumamoto, esok.


Ringkasan AI
  • Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, mengesahkan slot ke final Masters Jepun 2025 selepas menewaskan beregu tuan rumah Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.
  • Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu bakal bertemu beregu tuan rumah Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam final, setelah menyingkirkan pasangan dari Korea Selatan pada separuh akhir.
  • Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, tersingkir dalam separuh akhir Masters Jepun 2025, membenamkan peluang meraih gelaran kedua musim ini.


Pada aksi separuh akhir kejohanan Super 500 di Gimnasium Kumamoto Prefectural hari ini, selaku pilihan pertama Pearly-Thinaah mengambil masa 57 minit untuk mengetepikan beregu tuan rumah yang juga pilihan ketiga, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 24-22, 23-21 sekali gus mara ke final ketujuh mereka musim ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan naib juara Kejohanan Dunia 2025 berkenaan menambah baik rekod pertemuan ke atas Fukushima-Matsumoto kepada 5-1.

Gandingan nombor dua dunia itu bakal bertemu beregu tuan rumah yang juga pilihan keempat, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang membuat kejutan dengan menyingkirkan pilihan kedua dari Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong, 21-16, 21-11.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan beregu negara itu mempunyai kelebihan selepas mencatat enam kemenangan dalam lapan pertemuan setakat ini.

Pearly-Thinaah meraih gelaran pertama mereka tahun ini pada kejohanan Terbuka Thailand pada Mei, diikuti Terbuka Artik di Vantaa, Finland, bulan lepas.

Bagaimanapun, beregu lelaki profesional negara yang juga pilihan kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani tersingkir apabila dikejutkan oleh pasangan tuan rumah yang bukan pilihan, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 12-21, 17-21, dalam masa 38 minit.

Pasangan Jepun itu akan bertemu sama ada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae atau Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Taiwan pada pentas akhir esok.

Pada Januari lepas, Sze Fei-Nur Izzuddin meraih satu-satunya gelaran musim ini selepas menewaskan Won Ho-Seung Jae, 21-15, 13-21, 21-16 pada Terbuka India 2025.

Usaha mereka memburu gelaran kedua tahun ini sekali lagi hampa apabila tewas 16-21, 17-21 kepada pasangan Korea Selatan itu pada final Terbuka Jepun 2025, Julai lepas.

-- BERNAMA




#Pearly-Thinaah #beregu wanita #Masters Jepun 2025 #badminton