SUKAN

Masters Korea: Misi Jimmy-Pei Jing raih gelaran sulung gagal lagi

Bernama 09/11/2025 | 08:15 MYT
Jimmy-Pei Jing, yang membentuk beregu Mac lepas, telah menamatkan saingan sebagai naib juara enam kali tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran profesional negara Jimmy Wong-Lai Pei Jing sekali lagi gagal dalam misi meraih gelaran sulung mereka pada kejohanan badminton Masters Korea 2025 di Jeonbuk, hari ini.

Pilihan ketiga kejohanan Super 300 itu, yang beraksi dalam final ketujuh mereka musim ini, dikejutkan 22-24, 18-21 oleh gandingan tuan rumah dan pilihan kelapan Kim Jae Hyeon-Jeoung Na Eun dalam 54 minit di Pusat Kebudayaan dan Sukan Universiti Wonkwang.

Jimmy-Pei Jing, yang membentuk beregu Mac lepas, telah menamatkan saingan sebagai naib juara enam kali tahun ini iaitu pada Cabaran Antarabangsa Vietnam, Siri Antarabangsa Phuket, Terbuka St Denis, Terbuka Macau, Masters Indonesia I dan Masters Indonesia II.

-- BERNAMA


#Masters Korea #beregu campuran #Jimmy Wong #Pei Jing