Masters Monte Carlo: Wawrinka bangkit raih kemenangan, Murray terkandas

Astro Arena
April 11, 2023 01:20 MYT
Wawrinka (gambar) ketika beraksi menentang Griekspoor pada pusingan pertama Kejohanan Tenis Masters Monte Carlo di Monte-Carlo Country Club, Roquebrune-Cap-Martin, Perancis, 10 April 2023. - REUTERS
STANISLAS Wawrinka mempamerkan kebangkitan untuk mencatatkan kemenangan dalam Kejohanan Tenis Masters Monte Carlo tetapi Andy Murray tersingkir secara set langsung dalam perlawanan pusingan pertama awal pagi tadi.
Kedua-dua pemain itu, yang merupakan pemenang tiga gelaran grand slam, melalui nasib berbeza dalam kejohanan berkenaan, masing-masing menentang Tallon Griekspoor dan Alex de Minaur.
Wawrinka, yang tidak pernah beraksi sejak Terbuka Indian Wells bulan lalu, menewaskan lawan dari Belanda berkenaan 5-7, 6-3, 6-4 tetapi Murray pula ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Australia itu selepas tewas 1-6, 3-6.
Roberto Bautista Agut, dalam pada itu, menyelamatkan mata akhir dalam set kedua untuk bangkit mengatasi Filip Krajinovic 5-7, 7-6, 6-1.
Dominic Thiem turut meneruskan kemaraan selepas menewaskan Richard Gasquet 6-3, 6-4 tetapi pemain pilihan ke-11, cameron Norrie, kalah 3-6, 4-6 kepada Francisco Cerundolo.
#Masters Monte Carlo #tenis #Stanislas Wawrinka #Andy Murray