Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan pada Liga Super musim depan jika Johor tidak bersetuju dengan syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan oleh
Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata KAFA terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu pada tahun ini.

Mat Yo, yang dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' dalam anugerah bola sepak kebangsaan 2012 baru-baru ini, masih mempunyai kontrak selama 13 bulan dengan persatuan itu.

Annuar berkata nilai pakej gaji Mat Yo untuk dua tahun berjumlah RM800,000 tidak termasuk bonus antara RM70,000 dan RM80,000 setahun.

"Kita kena hitung kos untuk menanggung Mat Yo bukan sahaja gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian khusus setiap kali menang anugerah selain pemberian gratuiti.

"Mat Yo kahwin kita bagi hampir RM100,000. Itu semua kos yang kita terpaksa kira," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan tiga piala di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di sini, hari ini.

Musim ini, Kelantan memenangi tiga kejohanan iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nilai, syarat serta terma yang telah disertakan dalam surat tawaran kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung urusan perpindahan Norshahrul.

Beliau berkata KAFA bersetuju melepaskannya untuk menyertai Johor dan semuanya bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua persatuan negeri itu.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim hadapan.

Annuar berkata polemik perpindahan Mat Yo juga menyebabkan reaksi negatif daripada beberapa penaja 'The Red Warriors' berikutan khabar angin mengatakan Kelantan tidak mungkin menjuarai sebarang kejuaraan pada musim hadapan.

"(Perkara ini) sudah mula menjejaskan rundingan yang sedang berjalan serta penaja yang ada sekarang. Kita mungkin hilang dua atau tiga penaja disebabkan ini.

"Kalau kita kata kerugian sampai RM6 juta, takkan nak minta dengan Johor sampai RM6 juta?. Kita terpaksa ambil pendekatan yang munasabah. Masa sama, kita pun tak boleh nak menanggung kerugian," katanya.