Mat Zan tagih kudrat penyerang Brazil

Astro Arena
April 28, 2019 07:24 MYT
Mat Zan Mat Aris mengesahkan seorang penyerang dari Brazil akan sertai Negeri Sembilan. - Foto Stadium Astro.
JURULATIH Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris, mengesahkan seorang penyerang dari Brazil akan memperkuatkan pasukannya sebaik jendela perpindahan kedua dibuka Khamis nanti.
Mat Zan berkata pemain yang belum pernah beraksi dalam Liga Malaysia itu sudahpun turun menjalani latihan bagi menggantikan Thomas Koroma yang digugurkan.
Kehadirannya juga diharap menyelesaikan ketumpulan serangan selepas menyaksikan Negeri Sembilan tumpas 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) II, pada Sabtu.
"Kami memerlukan seorang penyerang tulen dan saya harap dapat membawa masuk pemain baru untuk beraksi dalam pusingan kedua liga.
"(Jose) Almir yang sebelum ini dipertaruhkan sebagai penyerang akan kembali ke posisi sayap manakala dua lagi tonggak import turut dikekalkan," jelasnya.
Dalam aksi di Kuala Terengganu malam tadi, jaringan Bruno Suzuki ketika permainan baru berusia seminit, menjadi pemisah di antara TFC II dan Negeri Sembilan.
Gol awal itu tidak menyentap semangat skuad Hobin Jang Hobin itu yang kembali mendapat rentak dalam babak berikutnya, namun tidak berhasil menyamakan kedudukan.
Menurut Mat Zan, barisan bimbingannya ketandusan idea serta beberapa peluang menembusi kubu pasukan tuan rumah terlepas begitu sahaja.
"Perlawanan agak seimbang dan walaupun penjaga gol kami membuat kesilapan, pemain-pemain saya melawan sehingga minit terakhir," tambahnya lagi.
#Bruno Suzuki #Hobin Jang Hobin #Liga Malaysia #Liga Super #Mat Zan Mat Aris #Negeri Sembilan #Terengganu FC #Thomas Koroma