[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
SPORTS

Maybank Challenge Cup 2025: Kekecewaan demi kekecewaan, wajarkah masih setia?

Asyraf Malik 28/05/2025 | 12:41 MYT
Penyokong yang hadir untuk memberi sokongan pada perlawanan saingan Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 antara Manchester United menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Berbicara soal hati pilu, penyokong Manchester United pasti lebih memahami.

Kedudukan corot Liga Perdana Inggeris serta kemarau trofi musim 2024/2025, pasukan The Red Devils seperti disumpah badi.

Walaupun begitu, peminat tetap semangat memeriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan Manchester United menentang ASEAN All-Stars pada Rabu.

Kesetiaan mereka jelas terserlah, rasa cinta yang kebanyakan bermula dari kegemilangan The Red Devils suatu ketika dahulu.

Antara penyokong mencuri tumpuan adalah pelajar institut pengajian tinggi (IPT), Syed Muhammad, 23, yang hadir ke stadium meskipun berkerusi roda.

"Saya mula sokong Manchester United ini daripada saya umur 6 tahun, dalam 2007 macam tu.

"Macam mana boleh jatuh hati dengan pasukan ini, sebab dulu saya tengok pemain macam Wayne Rooney, Nani dan Cristiano Ronaldo lincah menjaringkan gol.

"Daripada saya tengok dekat kaca televisyen itu, saya terus tanamkan dalam hati untuk sokong Manchester United sampai ke hari ini," ujar Muhammad yang terbatas pergerakan sejak lahir.

Syed Muhammad (kanan) sanggup hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan walaupun berkerusi roda. - Astro AWANI



Meskipun The Red Devils sedang melalui zaman kegelapan, sokongan dari jiwa penyokong kekal utuh, ini erti kesetiaan yang melangkaui maruah.

Demikian pendirian Hairul Faizal Manan, 48, dari Ipoh, Perak yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengendali Manchester United, Ruben Amorim.

"Diakui musim paling hambar untuk penyokong Manchester United, tetapi sebagai peminat kita harus kekal di belakang pasukan.

"Kita tengok tahun hadapan macam mana, apa yang Amorim rancang nak buat kita sentiasa positif, ini saja kita boleh cakap dalam keadaan sekarang," kata Hairul.

Dengan penuh keyakinan, penyokong Manchester United turut meramalkan kemenangan bergaya ke atas ASEAN-All-Stars, pasukan dibintangi pemain berkaliber dari serata Asia Tenggara.

Para peminat dan penyokong tegar bersemangat untuk menyaksikan perlawanan malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama


Aiman Musa, 31, dan isterinya, Atikah Durrah mengharapkan pemain tonggak mereka untuk menyinar dalam perlawanan persahabatan ini.

"Saya rasa Manchester United menang 3-1 nanti, penjaringnya mungkin Rasmus Højlund, Mason Mount dan Amad Diallo.

"Saya pula rasa 4-2 berpihak kepada Manchester United, pemain yang akan mencetak gol adalah Mason Mount, Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes," kata Aiman dan Atikah.

Rata-rata penyokong Manchester United terus optimis, musim mengecewakan bukan pengakhiran segalanya kerana pasti ada sinar di hujung terowong.



#Manchester United #ASEAN All-Stars #Piala Cabaran Maybank #Stadium Nasional Bukit Jalil