[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
SPORTS

Maybank Cup Challenge 2025: Stadium Bukit Jalil 'menyala' dengan jersi merah

Asyraf Malik 28/05/2025 | 10:45 MYT
Penyokong Manchester United beratur panjang sebagai persediaan untuk memasuki stadium. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 3 petang untuk menyaksikan perlawanan Manchester United menentang ASEAN All-Stars dalam saingan Piala Cabaran Maybank pada malam Rabu.


Ringkasan AI
  • Lebih 70,000 peminat bola sepak membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan kebanyakan penyokong mengenakan jersi Manchester United daripada pelbagai era.
  • Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada Piala Cabaran Maybank, dengan barisan pemain bagi kedua-dua pasukan diumumkan sejam sebelum sepak mula pada 8.45 malam.
  • Tetamu kehormat termasuk beberapa pemimpin ASEAN dijangka hadir, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei.


Sebahagian daripada 70,000 penyokong beratur awal di pintu masuk ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan ketika memasuki stadium, mereka sabar menunggu untuk pagar dibuka pada jam 6 petang.

Kebanyakan penyokong diperhatikan menyarung jersi Manchester United daripada pelbagai era, ia dapat dibezakan menerusi syarikat penaja yang tertulis, antara jenama retro seperti Sharp dan Vodafone.

Bagaimanapun kelibat penyokong mengenakan pakaian kebiruan ASEAN All-Stars sukar dilihat, jumlah pengikut Manchester United jauh mengatasi bilangan mereka, jelas memaparkan fenomena dicetus kelab gergasi Eropah itu.

Keadaan di perkarangan stadium terkawal, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pasukan penganjur aktif menyelia pergerakan penyokong.

Terdapat juga karnival di lokasi berdekatan yang menyediakan beraneka juadah makanan serta minuman untuk mengisi perut dan melegakan dahaga penyokong.

Selain aksesori Manchester United seperti jersi dan mafla bagi pembelian saat akhir.

Turut bergema daripada dalam stadium adalah konsert pra-acara dipersembahkan Bunkface, Ndiji dan Datuk Ramli Sarip.

Barisan pemain diturunkan untuk Manchester United dan ASEAN All-Stars akan diumumkan sejam sebelum perlawanan yang dijadualkan bermula jam 8.45 malam

Tetamu kehormat iaitu beberapa pemimpian ASEAN dijangka menyaksikan perlawanan persahabatan ini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dilangsungkan pada 26 dan 27 Mei.




#Manchester United #ASEAN All-Stars #Stadium Nasional Bukit Jalil #Piala Cabaran Maybank #terkini