SUKAN

Mbappe, Olise bersinar ketika Perancis sah ke Piala Dunia 2026

Agensi 13/11/2025 | 23:50 MYT
Kapten Mbappe membuka tirai jaringan sejurus babak kedua bermula dengan sepakan penalti tenang pada minit ke-55, sebelum Olise menambah gol kedua pada minit ke-76. - Gambar Reuters
PARIS: Kylian Mbappe meledak dua gol manakala Michael Olise dan Hugo Ekitike turut mencatat nama sebagai penjaring ketika Perancis menewaskan Ukraine 4-0, awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 pada malam penuh penghormatan kepada mangsa serangan Paris 2015.

Kapten Mbappe membuka tirai jaringan sejurus babak kedua bermula dengan sepakan penalti tenang pada minit ke-55, sebelum Olise menambah gol kedua pada minit ke-76.

Mbappe kemudian meledak gol kedua peribadinya, diikuti jaringan sulung Ekitike bersama skuad kebangsaan.

Sebelas minit sebelum sepak mula, kira-kira 41,000 penyokong berdiri bertafakur mengenang ulang tahun ke-10 serangan 13 November 2015 yang meragut 130 nyawa di sekitar Paris.

Kebanyakan mangsa terkorban di dewan konsert Bataclan, manakala seorang lagi maut berhampiran Stade de France selepas beberapa letupan berlaku ketika aksi persahabatan antara Perancis dan Jerman.

Jurulatih Didier Deschamps, yang masih mengemudi pasukan sejak insiden itu, dijangka menamatkan tugas selepas Piala Dunia akan datang.

Dengan satu aksi berbaki menentang Azerbaijan Ahad ini, Perancis kini memiliki kelebihan enam mata di tangga teratas Kumpulan D, mengatasi Iceland dan Ukraine.

Juara dunia 2018 dan naib juara 2022 itu mengekalkan rekod layak ke setiap edisi Piala Dunia sejak terlepas slot pada edisi 1994 di Amerika Syarikat.

Sambil menanti undian Piala Dunia di Washington DC pada 5 Disember, Ukraine dan Iceland akan berentap Ahad ini bagi menentukan siapa mara ke playoff Mac depan.

Satu-satunya kehilangan mata Perancis berlaku ketika seri di Iceland bulan lalu, namun mereka jarang mempamerkan rentak terbaik sepanjang kempen yang sederhana ini.

Mbappe, bintang Real Madrid, membuka tirai gol selepas Olise dijatuhkan dalam kotak penalti, menyempurnakan sepakan dengan lambungan tenang.

Olise dari Bayern Munich semakin menyerlah selepas dipindahkan ke posisi tengah, sebelum merembat masuk gol kedua Perancis.

Mbappe menolak masuk gol ketiga pada minit ke-83, menjadikannya 55 gol bersama skuad kebangsaan – hanya dua gol di belakang penjaring terbanyak sepanjang zaman, Olivier Giroud (57).

Ekitike kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol sulungnya di peringkat antarabangsa. - Agensi



#Kylian Mbappe #Michael Olise #Piala Dunia 2026 #mangsa serangan Paris